
SHAH ALAM – Infrastruktur digital yang kukuh, bakat berkemahiran tinggi dan penguasaan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara elemen penting dalam usaha Selangor memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi digital dan teknologi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keupayaan berkenaan penting bagi memastikan negeri itu kekal kompetitif serta berupaya menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan.
“Bagi Selangor, perkembangan ini amat signifikan dalam usaha kita memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab ekonomi digital dan teknologi.
“Infrastruktur digital yang kukuh, bakat berkemahiran tinggi serta keupayaan AI akan menjadi antara asas penting untuk kita kekal kompetitif dan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan TM80: Merentasi Generasi sempena ulang tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM) di Multimedia University (MMU), Cyberjaya, yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Amirudin berkata perjalanan TM sepanjang lapan dekad turut mencerminkan evolusi landskap komunikasi negara, daripada era pos dan telegraf kepada teknologi gentian optik, pengkomputeran awan dan AI.
Usaha berkenaan meliputi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain latihan dalam AI, pengkomputeran awan serta keselamatan siber.





