
TAWAU – Sebanyak 70 lot kedai menjual pakaian terpakai ‘bundle’ musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Titingan, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pukul 4.44 pagi sebelum sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian ‘bundle’ jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
“Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak sekali gus menyelamatkan kira-kira 350 buah rumah dan lot kedai berhampiran daripada turut terbakar,” menurut JBPM, pada Khamis.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi pemadaman serta kerja-kerja overhaul masih diteruskan.
“Tiada liputan GIRN di lokasi kejadian dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelasnya.




