PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Rabu.
Kedua-dua indvidu terbabit dijangka direman esok bagi membantu siasatan susulan isu dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Sumber SPRM ketika dihubungi memaklumkan, Abdul Azeez dan Mohd Irwan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada tengah hari tadi bagi membantu siasatan sebelum ditahan kira-kira jam 4 petang.
“Mereka telah ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM. Mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok (pada Khamis).
“Betul (ada lagi pemimpin UMNO akan didakwa isu TH). Kita telah ada beberapa senarai nama dan kemungkinan mereka akan didakwa pada Jumaat atau minggu depan.
“Kita dapati ada pelbagai kesalahan yang telah dilakukan pemimpin-pemimpin itu terhadap Tabung Haji ketika berkuasa,” katanya, pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi juga mengesahkan penahanan dua individu lelaki berusia dalam lingkungan usia 60-an.
Menurut beliau, kedua-dua individu terbabit dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman pada Khamis.
Sebelum ini, melaporkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman tujuh hari sehingga 27 Ogos untuk membantu siasatan berkaitan pendedahan RCI mengenai TH.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu termasuk seorang wanita yang terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.







