
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membuat laporan polis berhubung satu hantaran tular di media sosial mengenai pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan semakan terhadap dakwaan berkenaan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan pegawai yang bertugas ketika kejadian.
Hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod serta keterangan yang diperoleh jabatan itu.
“Jabatan memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan Imigresen akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut beliau lagi.
Pada masa sama, Imigresen menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berkaitan perkhidmatan jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, Imigresen menegaskan perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan salah faham.
Imigresen turut memberi jaminan bahawa setiap aduan akan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.






