Tidak bayar cukai, tidak peduli duit negara?

Oleh: Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

LAGI ramai orang bayar cukai pendapatan, lagi ramai yang sensitif dengan kewangan kerajaan.

Diagnosis saya mengapa tidak ramai orang yang sensitif dengan skandal kewangan yang melibatkan kerajaaan ialah kerana ramai di antara kita yang tak membayar cukai pendapatan.

Dianggarkan pembayar cukai individu yang aktif hanya ada lapan sehingga sembilan juta orang sahaja daripada 34 juta penduduk Malaysia.

Ini adalah kerana pendapatan minima untuk kena cukai ialah dalam RM5,000, tolak campur. Dalam masa yang sama, median gaji di Malaysia hanyalah dalam RM3,000. Jadi, memang ramailah orang yang berkerja yang tidak perlu membayar cukai pendapatan.

Di kala GST (cukai barang dan perkhidmatan) diperkenalkan dahulu, saya gembira. Kegembiraan itu bukan kerana cukai yang dikutip tetapi kerana lebih ramai rakyat akan berasa mereka adalah pembayar cukai.

Namun, jangkaan saya meleset. Cukai tidak lansung tidak menjentik emosi. Bila kes 1MDB (1 Malaysia Development Berhad) keluar, ramai mana yang tidak peduli dan menganggap itu adalah “biasa-biasa” sahaja.

Cukai pendapatan lebih menjentik emosi kerana sebagai pembayar cukai individu kita kena mengisi borang cukai walaupun cukai sudah dipotong dari pendapatan terlebih dahulu.

Kadar cukai juga akan menjadikan kita lebih sensitif. Kalau kena bayar 30 sen dari setiap Ringgit pendapatan kita, lagi menusuk kalbu.

Orang yang tidak bayar cukai sensitifnya berbeza. Disebabkan kedudukan kewangan mereka, mereka lebih sensitif jika kurang diberikan bantuan.

Asalkan ada bantuan, lantaklah apa yang berlaku di dalam negara ini. “Hidup aku tak berubah pun jika penyanggak dihumban ke dalam penjara”, mungkin bisikan biasa di dalam jantunghati orang-orang di dalam kumpulan ini.

Untuk meramaikan bilangan pembayar cukai individu tahap gaji kena ditingkatkan.

Keuntungan usahawan juga kena naik berkadar dengan perkembangan ekonomi.

Ini mungkin sukar jika perkembangan pesat ekonomi tertumpu kepada beberapa sektor sahaja. Lagi teruk jika sektor-sektor berkenaan diberikan insentif cukai pula.

Orang seperti saya kena dua-dua. Saya membayar cukai individu dan saya mengutip cukai perkhidmatan. Setiap dua bulan kena remitkan cukai perkhidmatan kepada Kastam. Jadi, jika saya sensitif kepada skandal kewangan, itulah antara sebabnya. Saya nampak aliran duit dari rakyat ke kerajaan.

Bagi sayalah, membayar cukai ni dapat pahala kerana duit cukai itu digunakan untuk pelbagai perkara yang bermanfaat. Tak ramai orang agama sebut perkara ini. Hanya fokus kepada pembayaran zakat sahaja.

Apabila cukai dikumpulkan di dalam akaun yang disatukan (consolidated fund), ia menjadi hak kesemua rakyat Malaysia. Bayangkan dosa yang ditanggung jika RM1 dari dana ini diselewengkan.

Macam saya tanya semasa saya di Tabung Haji dahulu “Siapa berani kata RM1 duit orang yang diselewengkan itu kecil nilainya di sisi Allah?”. Ada orang yang berani nak katakan kecil di sini?

Salah satu maqasid shariah ialah menjaga harta. Jadi segala sistem dan proses yang kita wujudkan untuk menjaga dana kerajaan bertujuan nak menegakkan shariah lah.

Ramai mana dari puak-puak yang sering melaungkan “Nak Islam” tu yang membincangkan perkara ini? Eh, kita kan tak sekular.

Diharapkan melalui Komuniti Minda CEO, lebih ramai pembayar cukai individu dilahirkan dan menambah bilangan orang yang sensitif dengan kewangan kerajaan. Itu dah cukup bagi saya.

***Penulis adalah Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH)

Related Posts

Penemuan artifak buka potensi arkeologi Bukit Batu Putih

PENEMUAN serpihan seramik lama dan beberapa artifak di Bukit Batu Putih, Kuala Perlis mungkin kelihatan kecil pada pandangan biasa, namun di sebalik tinggalan itu tersimpan persoalan lebih besar mengenai sejarah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Rasuah bukan isu kaum, bukti mesti mengatasi persepsi

ISU rasuah sepatutnya menjadi medan penyatuan rakyat dalam mempertahankan amanah dan integriti, bukannya dijadikan gelanggang untuk mengadu domba antara kaum dan agama. Namun, artikel terbaru Minda Presiden PAS bertajuk “Isu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tidak bayar cukai, tidak peduli duit negara?

Tidak bayar cukai, tidak peduli duit negara?

PM hargai komitmen Selangor jayakan SUKMA

PM hargai komitmen Selangor jayakan SUKMA

Kajian tiga universiti sahkan impak positif PLKN 3.0

Kajian tiga universiti sahkan impak positif PLKN 3.0

Selangor juara SUKMA, 1 September diisytihar cuti peristiwa

Selangor juara SUKMA, 1 September diisytihar cuti peristiwa

FINAS perlu lebih cekap, tidak menyusahkan penggiat industri

FINAS perlu lebih cekap, tidak menyusahkan penggiat industri

MyFuture Policy Lab platform perkukuh kefahaman generasi muda

MyFuture Policy Lab platform perkukuh kefahaman generasi muda