
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Rusdah Jantan di mana kediamannya di Kampung Bukit Genting, dekat sini, ditimpa musibah kebakaran pada April lalu.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Razak Daud, hari ini.
Rusdah, 61, adalah pesara kerajaan dan menetap di rumah itu bersama dua anaknya berusia 29 dan 40 tahun.
Razak berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda ingatan daripada UMNO Bahagian berkenaan.
“Saya difahamkan beliau masih menunggu bantuan daripada pihak berwajib untuk pembinaan semula rumah yang musnah dalam kebakaran pada April lalu.
“Jadi pihak UMNO Bahagian Jerantut tampil menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan keluarga ini, sementara menunggu bantuan sewajarnya daripada pihak berkenaan,” katanya.
Razak berkata, orang ramai yang ingin membantu keluarga Rusdah boleh berhubung dengan Pejabat Daerah Jerantut bagi tujuan penyelarasan bantuan.
Dalam pada itu, Rusdah memaklumkan rumah tersebut adalah kenangan paling bermakna ditinggalkan suaminya yang sudah meninggal dunia 15 April di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.




