PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menjadi satu-satunya parti yang sedang dipertimbangkan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar, sekiranya beliau kembali menyertai politik.
Kamarudin mengesahkan kepada media bahawa beliau sedang berbincang dengan beberapa rakan dalam PKR mengenai kemungkinan kembali, namun belum membuat sebarang permohonan rasmi.
“Ia sebagai usaha memastikan kestabilan dan kelancaran kerajaan demi kepentingan dan kestabilan politik negara.
“Setakat ini hanya PKR yang sedang dipertimbangkan. Parti lain tiada,” kata bekas timbalan menteri itu.
Kamarudin mengulas laporan yang beliau dijangka menyertai semula PKR yang ditinggalkannya enam tahun lalu.
Bagaimanapun, Kamarudin berkata sekiranya kembali menyertai PKR, beliau berkemungkinan kekal sebagai ahli Cabang Bandar Tun Razak, kawasan yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen dari 2018 hingga 2022.
Difahamkan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman juga sedang mempertimbangkan kemungkinan kembali menyertai PKR.
Kamarudin dan Mansor adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang keluar parti bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Februari 2020 untuk menyertai Bersatu.
Perkembangan itu menjadi antara rentetan peristiwa politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.






