
KOTA KINABALU – Pendekatan turun padang menerusi Program MADANI Kita yang dilaksanakan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dalam mendekati masyarakat kini menjadi penanda aras baharu kepada agensi kerajaan lain.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, inisiatif yang memberi tumpuan kepada penglibatan secara langsung bersama komuniti itu dilihat berjaya mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, sekali gus membuka ruang penyampaian maklumat yang lebih berkesan.
“Untuk esok PMK Sabah di Dewan Kanpung Warisan Inanam menampilkan kelainan apabila memberi peluang kepada peniaga tempatan menyediakan dan menjual makanan kepada pengunjung.
“Langkah itu bukan sahaja mengangkat makanan tempatan, malah membantu menjana pendapatan peniaga kecil,” katanya kepada The Malaysia Press pada Program Denai Pertiwi Bersama Komuniti Kampung Warisan Inanam di Masjid Muhajirib, pada Jumaat.

Mengulas mengenai program Denai Pertiwi, beliau berkata, ia berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta hasil kerjasama Jawatankuasa Masjid Muhajirin, bersama Kumpulan Inisiatif Relawan Wanita dan Anak Sabah (KIRANA) dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang mendekati komuniti.
“Antara pengisian utama ialah pertandingan azan yang memberi peluang kepada golongan muda mendekati institusi masjid melalui pendekatan lebih kreatif dan inklusif,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhajirin Kg Inanam, Ustaz Aliudin Mahdar memuji program berkenaan yang berupaya memanfaatkan dan menghimpunkan ramai penduduk kampung terbabit.
“Ini juga menjadi jambatan kepada rakyat untuk bersua muka bersama wakil kerajaan seperti Haji Hisyamuddin untuk kami menyuarakan hasrat selain mendapatkan maklumat sahih.
“Misalnya permohonan kami untuk mendapatkan dana bagi membaiki masjid ini dan telah diangkat oleh Ahli Parlimen Datuk Mustapha di peringkat ICU.
“Kita tahu beliau (Hisyamuddin) rapat dengan pemimpin-pemimpin atasan, maka mudahlah untuk membantu kita,” jelasnya.
Selain pertandingan azan kanak-kanak, program turut diisi dengan mewarna kanak-kanak, teka silang kata dan kahoot.




