Hadi perlu lihat kerangka demokrasi Malaysia berbeza dengan zaman Madinah

SITUASI politik Malaysia hari ini yang berteraskan demokrasi dan Perlembagaan adalah berbeza dengan keadaan politik pada zaman Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Justeru tindakan menentang kerajaan tidak boleh disamakan dengan konsep permusuhan pada ketika itu.

Jawatankuasa Utama Majlis Ulama Malaysia dan bekas Imam Masjid Rusila, Ustaz Zuliadin Abdullah berkata, perbezaan waqi’ atau konteks semasa perlu diambil kira ketika menilai kedudukan parti politik yang menjadi pembangkang kepada kerajaan.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi Malaysia, parti politik mempunyai hak untuk menjadi kerajaan atau pembangkang dan menjalankan peranan masing-masing berdasarkan kerangka Perlembagaan.

“Lawan kerajaan hari ini bukan lawan seperti di Madinah dahulu. Kita berada dalam sistem demokrasi yang membenarkan mereka melawan mengikut kaedah dan kerangka yang diterima bersama melalui Perlembagaan.

“Jadi jangan kita melihat lawan kerajaan hari ini sebagaimana lawan yang berlaku di Madinah dahulu. Di sini kadang-kadang kita silap,” katanya menerusi video yang tular di media sosial.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan kedudukan kerajaan Islam dan pembangkang susulan tulisan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam ruangan Minda Presiden Pas.

Menerusi tulisan itu, Abdul Hadi mendakwa DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) meneruskan agenda penjajah untuk melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Zuliadin berkata, Pas sendiri pernah menjadi pembangkang kepada kerajaan yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN), justeru kedudukan sebagai pembangkang tidak boleh dianggap sebagai tindakan memusuhi Islam atau kerajaan Islam.

“Pas menjadi pembangkang itu hak dia, tidak salah. Boleh pahala jadi pembangkang kalau dia membangkang dengan cara yang betul.

“Pas dahulu menjadi pembangkang kepada kerajaan Islam yang diterajui UMNO dan BN. Hari ini Pas pula menjadi pembangkang kepada kerajaan.

“Jadi kalau Pas boleh menjadi pembangkang, orang bukan Islam juga ada hak untuk menjadi pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan parti politik menentang kerajaan melalui saluran demokrasi tidak sama dengan tindakan memerangi kerajaan secara fizikal atau bersenjata.

Katanya, perbezaan pendirian politik juga tidak boleh menjadi asas untuk melabel pihak tertentu sebagai kafir Harbi selagi tindakan mereka dilakukan mengikut Perlembagaan dan sistem demokrasi.

“Lawan di sini bukan lawan perang. Bukan lawan maki hamun, bukan lawan takfir.

“Kalau lawan mengikut kaedah, sistem dan Perlembagaan yang ada, tidak dipanggil kafir Harbi,” katanya.

Zuliadin berkata, keadaan politik dan masyarakat di Madinah pada zaman Nabi SAW mempunyai kerangka tersendiri yang tidak boleh terus dibandingkan dengan sistem politik Malaysia hari ini.

Menurutnya, ketika membaca sirah Nabi SAW, keadaan masyarakat Yahudi dan Nasrani yang berhadapan dengan pemerintahan di Madinah perlu dilihat berdasarkan konteks politik dan sistem pada zaman berkenaan.

“Kita kadang-kadang apabila baca sirah Nabi, Yahudi lawan Nabi di Madinah, Kristian lawan Nabi. Tetapi kerangka politik pada waktu itu tidak sama dengan kerangka politik kita hari ini.

“Hari ini kita kena tengok waqi’, keadaan yang ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang dipimpin orang Islam mempunyai tanggungjawab menjaga hak seluruh rakyat, termasuk bukan Islam, manakala rakyat bukan Islam pula mempunyai hak untuk menyertai kerajaan atau menjadi pembangkang.

“Dia bayar cukai, dia ada kad pengenalan, Dia juga rakyat, lahir di sini dan beranak di sini. Dia ada hak untuk lawan mengikut Perlembagaan dan sistem demokrasi yang sama-sama kita terima,” katanya.

Zuliadin turut mengingatkan supaya persaingan politik tidak disertai tindakan takfir dan fitnah kerana perbezaan pendirian dalam sistem demokrasi tidak menjadikan seseorang atau sesebuah parti sebagai musuh Islam.

“Jangan kita melihat sebagaimana lawan yang berlaku di Madinah dahulu. Di sini kadang-kadang kita silap,” katanya.

Related Posts

Jangan salahkan DAP untuk halalkan kesalahan pemimpin Melayu – Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Kesalahan dan kelemahan pemimpin Melayu tidak boleh dihalalkan dengan menjadikan DAP sebagai alasan, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali. Beliau berkata, walaupun DAP…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hukuman rasuah perlu lebih tegas, bersifat mandatori – Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Hukuman terhadap kesalahan rasuah perlu dikaji semula dan ditetapkan secara lebih tegas termasuk bersifat mandatori bagi memastikan ia benar-benar memberi kesan pencegahan, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tafsir Perlembagaan berasaskan fakta, bukan kepentingan – Shamrahayu

Tafsir Perlembagaan berasaskan fakta, bukan kepentingan – Shamrahayu

Rasuah bukan isu kaum, bukti mesti mengatasi persepsi

Rasuah bukan isu kaum, bukti mesti mengatasi persepsi

Hadi perlu lihat kerangka demokrasi Malaysia berbeza dengan zaman Madinah

Hadi perlu lihat kerangka demokrasi Malaysia berbeza dengan zaman Madinah

Jangan salahkan DAP untuk halalkan kesalahan pemimpin Melayu – Ibrahim Ali

Jangan salahkan DAP untuk halalkan kesalahan pemimpin Melayu – Ibrahim Ali

Pendekatan mesra pelabur, persekitaran kondusif dorong Google pilih Selangor

Pendekatan mesra pelabur, persekitaran kondusif dorong Google pilih Selangor

Fadhlina arah siasatan dalaman segera, isu buli dan perkauman dipandang serius

Fadhlina arah siasatan dalaman segera, isu buli dan perkauman dipandang serius