
PETALING JAYA – Pendekatan memudah cara serta persekitaran pelaburan yang kondusif menjadi antara faktor Google memilih Selangor sebagai lokasi pusat data pertamanya di Malaysia.
Prinsipal Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah berkata, kerjasama dan sokongan Invest Selangor Bhd, agensi pelaburan negeri, menjadi contoh pendekatan yang membantu melancarkan proses pelaburan syarikat berkenaan.
“Kerjasama dengan Invest Selangor sangat membina dan memudah cara. Antara sebab kami melabur di Selangor adalah kerana kami melihat pendekatan di mana kami boleh bekerjasama demi manfaat ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya, seperti dilaporkan Media Selangor.
Menurutnya, pemilihan lokasi pusat data dibuat melalui proses penilaian yang ketat, termasuk mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan tanpa menjejaskan sumber serta kepentingan masyarakat setempat.
Beliau berkata, Google menjalankan pelbagai analisis dan kajian saintifik sebelum memilih sesuatu lokasi, termasuk penilaian terhadap kapasiti grid elektrik, tadahan air, ekologi tempatan serta risiko berkaitan sumber air.
Katanya, penilaian risiko air turut dibuat berdasarkan data sejarah bagi memastikan operasi pusat data tidak memberi tekanan kepada sumber air tempatan.
“Jika kami mendapati penilaian tersebut akan wujud impak buruk yang tidak dapat dimitigasi oleh pembangunan pusat data, maka keputusannya amat mudah: kami tidak akan pergi ke situ.
“Kami perlu menjalankan semua ujian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada kami selesa melabur dalam pusat data melalui cara yang melindungi sumber komuniti setempat,” katanya.
Siah berkata, faktor komuniti turut menjadi pertimbangan penting memandangkan operasi Google bersifat jangka panjang dan memerlukan hubungan baik dengan masyarakat sekitar.
Menurutnya, Google mahu memahami keperluan komuniti setempat melalui penilaian dan perbincangan bersama penduduk bagi mengenal pasti perkara yang boleh dibantu serta disokong syarikat.
Beliau berkata, masyarakat sekitar dianggap sebagai jiran dan bukan sekadar komuniti yang berada berhampiran lokasi operasi pusat data.
Sehubungan itu, Google menubuhkan Future Skills for All dengan kerjasama Arus Academy bagi memberi pendedahan kepada murid mengenai pengaturcaraan serta kemahiran asas yang diperlukan dalam ekonomi digital.
Selain itu, katanya, latihan, bengkel kemahiran dan program hackathon turut dianjurkan untuk pencari kerja serta pelajar bagi memberi pengalaman praktikal sebelum mereka menceburi industri pusat data.
Google turut memberi perhatian kepada golongan kurang bernasib baik bagi memastikan mereka mendapat peluang daripada pertumbuhan ekonomi digital, termasuk menerusi kerjasama dengan Souls Foundation yang melibatkan komuniti Orang Asli.
“Kami mahu berinteraksi dan memastikan komuniti yang paling kurang bernasib baik dan terpinggir di kawasan sekitar tidak ketinggalan daripada pertumbuhan ini,” katanya.





