KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan Jemaah Nazir, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menyelesaikan siasatan dalaman berhubung pemergian seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan segera.
Beliau berkata, semua perkara yang menjadi kebimbangan awam, termasuk dakwaan berkaitan buli dan unsur perkauman, perlu dipandang serius serta ditangani berdasarkan fakta dan proses yang sewajarnya.
“Ingatan dan simpati saya terus bersama keluarga dan warga sekolah rentetan pemergian anakanda kita,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memberi kerjasama penuh kepada pihak polis selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh.
Fadhlina berkata, perhatian dan sokongan turut diberikan kepada keluarga, murid, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, keluarga pelajar terbabit telah menerima sokongan psikososial daripada pasukan kaunselor KPM, manakala guru diberikan penerangan berkaitan proses siasatan dan perundangan yang sedang berlangsung.
Dalam pada itu, Smart Support Team KPM turut digerakkan bagi menyediakan sokongan psikososial dan intervensi krisis kepada murid yang terkesan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan kepada semua pihak dan mengambil langkah yang wajar supaya persekitaran pendidikan kekal selamat serta bebas daripada sebarang bentuk salah laku buli dan diskriminasi,” katanya.







