
BERA – Penggunaan dron berpotensi meningkatkan kecekapan perkhidmatan perubatan di negara ini susulan hasil kajian mendapati teknologi itu mampu menjimatkan masa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, kajian itu dilakukan menerusi kerjasama Hospital Bera, di sini, dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.
Katanya, hasil kajian jarak penghantaran sampel darah antara dua hospital itu sejauh 20 kilometer menerusi laluan udara hanya mengambil masa kurang 30 minit.
Beliau menambah, penggunaan dron dapat menjimatkan masa kerana jarak melalui jalan darat antara dua hospital itu sejauh 40 kilometer dan mengambil masa hampir sejam.
“Kajian penggunaan dron untuk penghantaran sampel darah itu dilakukan sejak Disember tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu lebih 100 penghantaran sampel darah dilakukan dan didapati kaedah itu amat berkesan.
“Setiap penghantaran membabitkan lima kilogram sampel darah dari Hopistal Bera ke HOSHAS,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perbuatan Hospital Bera, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Sharif.
Razali berkata, penggunaan dron menawarkan kelebihan ketika berlaku bencana alam dan kesesakan lalu lintas kerana penghantaran melalui udara tidak terjejas dengan situasi itu.
Katanya, kajian penghantaran sampel darah menggunakan dron turut memberi fokus terhadap kualiti sampel, ketepatan keputusan ujian serta aspek logistik.
“Semua rumusan kajian menerusi itu termasuk ketepan keputusan ujian antara penghantaran udara dan darat akan dibanding dan dinilai.
“Penilaian lain membabitkan kos logistik, maklum balas kakitangan dan halangan ketika proses penghantaran.
“Sampel darah digunakan dalam kajian penggunaan drone ini adalah untuk ujian hematologi, biokimia dan mikrobiologi,” katanya lagi.
Bagaimanapun Razali berkata, kaedah penghantaran sampel perubatan menggunakan dron secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan masih memerlukan kajian lanjut termasuk membabitkan analisis keberkesanan kos, keperluan peraturan dan peruntukan.
Jelasnya, siri ujian seterusnya akan dilaksanakan di Tawau, Sabah dan ketika ini Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara meneroka kajian pengguna dron dalam sektor perubatan.





