
KUCHING – Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) membuat satu laporan polis berhubung penularan klip video di platform TikTok yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak bendera Sarawak baru-baru ini.
Pengarah UKPS, Abdul Wahab Rahim tampil membuat laporan tersebut di Balai Polis Gita pada jam 1.49 tengah hari.
Kenyataan rasmi UKPS memaklumkan bahawa penyebaran video insiden berkenaan dikesan lebih awal menerusi perkongsian di aplikasi WhatsApp pada jam 10 pagi ketika Abdul Wahab berada di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur 2, Petra Jaya.
Menurut kenyataan itu, tindakan melampau individu berkenaan disifatkan amat tidak wajar dan sangat biadap terhadap lambang kebanggaan negeri tersebut.
“Di samping itu, perbuatan tersebut juga boleh mendatangkan kemarahan atau kegusaran awam dalam kalangan rakyat Sarawak yang berisiko mencetuskan ketegangan serta memecahbelahkan keamanan,” tegas kenyataan berkenaan pada Khamis.
Sehubungan itu, pihak UKPS menggesa pihak polis agar segera menyiasat insiden tersebut secara terperinci.
Agensi tersebut turut menuntut agar tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil ke atas individu terlibat di bawah perundangan berkaitan demi memelihara ketenteraman awam serta keharmonian di bumi Sarawak.







