Hari Kebangsaan, Hari Sabah diraikan serentak 31 Ogos

KOTA KINABALU – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah tahun ini bakal menjadi detik bersejarah apabila kedua-dua sambutan diraikan pada tarikh yang sama, iaitu 31 Ogos 2026.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan berkenaan membawa makna besar kepada rakyat Sabah kerana bukan sahaja meraikan kemerdekaan negara, malah memperingati Hari Sabah yang kini memasuki tahun ketiga selepas diisytiharkan secara rasmi.

“Tarikh ini membawa makna yang amat besar kepada rakyat Sabah kerana pada hari yang sama kita meraikan Hari Kebangsaan serta memperingati Hari Sabah.

“Sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk rakyat menghayati sejarah, menghargai perjuangan generasi terdahulu serta melihat ke hadapan dengan keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia.

“Sambutan Hari Kebangsaan pada sebelah pagi akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, dengan penyertaan kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan dan pelbagai organisasi,” katanya ketika berucap pada Sidang Media Khas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini pada Khamis.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 180 kontinjen telah memohon untuk menyertai perbarisan dan perarakan berjalan lalu yang akan bermula seawal pukul 6 pagi.

“Penyertaan yang begitu besar ini mencerminkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Sabah dalam meraikan hari yang bersejarah ini.

“Pada sebelah malam pula, tumpuan akan beralih kepada Sambutan Hari Sabah yang dirangka dengan pengisian khusus bagi golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.

“Sambutan malam berkenaan akan membawa konsep melihat ke hadapan, dengan Hari Sabah bukan sekadar ruang mengenang sejarah, tetapi turut membina keyakinan bahawa generasi muda mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju Sabah.

“Kita mahu Hari Sabah ini bukan sahaja menjadi acara rasmi, tetapi satu sambutan rakyat yang boleh dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Tambah Masidi, pengisian prapertunjukan disediakan lebih awal bagi memberi peluang kepada orang ramai hadir bersama keluarga, menikmati suasana sambutan sebelum menyaksikan acara kemuncak pada sebelah malam.

“Seluruh rakyat Sabah dijemput untuk hadir beramai-ramai seawal pukul 5 petang bagi memeriahkan Sambutan Hari Sabah 2026, selain menjadikan sambutan itu sebagai lambang kebanggaan terhadap sejarah, identiti, kebudayaan dan perpaduan rakyat Sabah.

“Tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, membawa mesej bahawa pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat serta kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat.

“Dalam konteks Sabah, kesejahteraan bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang pekerjaan lebih baik, pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi, kemudahan asas mencukupi, keselamatan serta perkhidmatan awam yang cekap,” jelasnya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, kebersihan, penyertaan kontinjen dan pengurusan keseluruhan acara sedang diselaraskan bagi memastikan sambutan pada 31 Ogos berlangsung lancar, selamat dan teratur.

“Saya menyeru rakyat yang hadir supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi memastikan sambutan berlangsung dalam suasana meriah, selamat dan selesa.

“Marilah kita jadikan sambutan ini sebagai kesempatan untuk menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan sesama kita,” katanya.

Related Posts

Turun padang, Program MADANI Kita jadi ‘benchmark’ agensi kerajaan dekati rakyat

KOTA KINABALU – Pendekatan turun padang menerusi Program MADANI Kita yang dilaksanakan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dalam mendekati masyarakat kini menjadi penanda aras baharu kepada agensi kerajaan lain. Ketua Pengarah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
4 suspek bersenjata samun kedai emas, jumlah kerugian RM500,000

KUANTAN – Empat lelaki bersenjatakan parang dan membawa objek dipercayai ‘pump gun’ menyamun sebuah kedai emas di Taman Pandan Perdana, di sini, kira-kira 2 petang tadi. Ketua Polis Daerah Kuantan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Turun padang, Program MADANI Kita jadi ‘benchmark’ agensi kerajaan dekati rakyat

  • By Fatin
  • August 21, 2026
Turun padang, Program MADANI Kita jadi ‘benchmark’ agensi kerajaan dekati rakyat

4 suspek bersenjata samun kedai emas, jumlah kerugian RM500,000

4 suspek bersenjata samun kedai emas, jumlah kerugian RM500,000

Penemuan artifak buka potensi arkeologi Bukit Batu Putih

Penemuan artifak buka potensi arkeologi Bukit Batu Putih

Anwar hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 Malaysia-Brunei

Anwar hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 Malaysia-Brunei

Bawah 1% banduan jalani pemulihan komuniti kembali ke penjara

Bawah 1% banduan jalani pemulihan komuniti kembali ke penjara

UMNO Jerantut sampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran

UMNO Jerantut sampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran