KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan membentangkan pindaan Akta Perkhidmatan Pos bagi memperkukuh aspek keselamatan dalam industri kurier, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pindaan berkenaan dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama atau selewat-lewatnya mesyuarat kedua persidangan Parlimen tahun depan.
Menurutnya, sesi libat urus bersama syarikat kurier telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi mendapatkan kerjasama industri memastikan barangan yang dihantar tidak menimbulkan isu keselamatan atau melanggar undang-undang.
“Pada masa sama, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi sedang meneliti Akta Perkhidmatan Pos untuk membuat beberapa pindaan, antara lain untuk memastikan sektor kurier terkandung dalam akta termasuk untuk menjamin aspek keselamatan seperti yang diminta oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri TikTok Shop Summit Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Fahmi berkata, pindaan itu antara lain bertujuan memastikan kerangka perundangan sedia ada dapat mengambil kira perkembangan industri kurier dan keperluan keselamatan semasa.
Sebelum ini, PDRM memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan MCMC serta Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur membabitkan perkhidmatan kurier, penghantaran barangan dan p-hailing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, terdapat kelemahan dalam ekosistem perkhidmatan kurier dan p-hailing yang dieksploitasi sindiket jenayah untuk menghantar bahan terlarang.





