
SHAH ALAM – Pas perlu membentangkan pelan ekonomi dan belanjawan alternatif yang jelas sekiranya benar-benar bersedia mengambil alih pentadbiran Selangor, kata Naib Ketua Pemuda AMANAH, Faris Arriffin.
Beliau berkata, pengalaman mentadbir beberapa negeri sahaja tidak memadai untuk membuktikan keupayaan Pas mengurus Selangor yang mempunyai skala ekonomi jauh lebih besar.
Faris berkata, nilai ekonomi Selangor mencecah RM460.1 bilion atau 26.5 peratus daripada ekonomi negara, berbanding gabungan empat negeri SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang berjumlah RM133.4 bilion.
“Ekonomi Selangor sahaja 3.45 kali ganda lebih besar daripada keempat-empat negeri tersebut digabungkan.
“Ekonomi gergasi yang dipacu oleh industri berteknologi tinggi, pelaburan global dan pasaran bandar memerlukan kerangka fiskal khusus, bukan andaian bahawa perincian boleh difikirkan selepas menang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berpandangan parti itu tidak perlu membentangkan belanjawan alternatif atau pelan pentadbiran lengkap untuk membuktikan kesediaan mengambil alih Selangor.
Faris berkata, pengalaman pentadbiran sememangnya penting, namun dalam tadbir urus moden, pengalaman tanpa pelan yang jelas tidak memadai.
Menurutnya, Belanjawan Selangor bernilai RM3.23 bilion, merangkumi RM1.86 bilion bagi perbelanjaan operasi dan RM1.37 bilion untuk pembangunan.
Katanya, peruntukan itu turut membiayai pelbagai inisiatif kebajikan rakyat seperti RM40 juta subsidi air percuma, RM30 juta Jualan Ehsan Rahmah, RM20 juta masing-masing bagi Iltizam Selangor Sihat dan Khairat Darul Ehsan serta RM282.5 juta bagi Skim Smart Sewa.
Dalam aspek hal ehwal Islam pula, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta untuk membaik pulih sekolah agama, RM3 juta bagi menaik taraf 20 masjid kariah, RM7.2 juta bantuan dan insentif jemaah haji serta RM1 juta untuk pemerkasaan Akademi Literasi al-Quran dan Akademi Turath.
Sehubungan itu, Faris menggesa Pas menjawab enam persoalan asas sebelum meminta mandat rakyat Selangor.
“Berapa hasil mahu dikutip dan daripada sumber mana? Apa strategi pelaburan serta pekerjaan bergaji tinggi? Apa sasaran air, banjir, rumah, sampah dan mobiliti?
“Berapa kos kebajikan rakyat dan institusi Islam? Apa KPI selepas 100 hari, setahun dan lima tahun? Jika mahu tambah perbelanjaan, apa trade-off dan sumber dananya?” katanya.
Faris berkata, rakyat Selangor berhak mengetahui kos, strategi, sumber hasil dan garis masa pelaksanaan sesuatu dasar sebelum membuat keputusan pada pilihan raya.
“Kalau Pas benar-benar mahu menggantikan Kerajaan Selangor, bentangkanlah tawaran yang lebih baik.
“Rakyat Selangor tidak perlukan pentadbiran Pas yang ‘cuba dahulu, fikir kemudian’. Rakyat Selangor berhak mendapat kerajaan yang bersedia sebelum meminta mandat,” katanya.







