
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Loji Simpanan Air Kabong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, penahanan itu dibuat susulan penemuan sisa kulit kabel di laluan masuk ke loji berkenaan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati suis utama di loji tersebut telah diumpil, manakala kabel yang disambungkan pada pam air turut hilang.
“Suspek ditahan ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kabong pada 18 Ogos lalu.
“Semasa serbuan dilakukan, suspek didapati berada di belakang kediamannya dan sedang mengupas kulit kabel yang dipercayai dicuri dari loji air berkenaan,” katanya.
Polis turut merampas dua batang kabel berperisai masing-masing berukuran 21 kaki dan 15.4 kaki panjang, berserta sebuah pemotong wayar berwarna merah.
Mengulas lanjut, Mathew menjelaskan siasatan mendapati suspek mengaku menceroboh kawasan loji tersebut sebanyak dua kali, iaitu pada 16 dan 18 Ogos lalu.
Suspek didapati memasuki kawasan loji melalui pintu pagar belakang yang telah dirobohkan, sebelum memotong wayar pada suis utama serta di bilik set penjana kuasa (genset).
“Suspek mendakwa melakukan kegiatan pencerobohan dan kecurian itu secara bersendirian semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah,” jelasnya.
Ujian saringan air kencing mengesahkan lelaki terbabit positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin.
Semakan lanjut mendedahkan suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau dan kesemuanya telah dijatuhi hukuman, melibatkan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pada 2020), Seksyen 457 Kanun Keseksaan (2024), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (2025).
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.






