Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar

PUTRAJAYA – Malaysia perlu meningkatkan keupayaan pertahanan negara dengan tambahan peruntukan yang boleh mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit bagi memastikan aset dan keupayaan pertahanan mencukupi untuk menghadapi perkembangan keselamatan yang semakin kompleks, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keperluan berkenaan perlu dinilai berdasarkan perubahan geopolitik serantau yang semakin dipengaruhi ketegangan antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China.

Katanya, perkara itu perlu dibincangkan secara terbuka ketika kerajaan menilai keperluan keselamatan negara, termasuk usaha memperkukuh pertahanan di Sabah.

“Kerajaan sudah meningkatkan peruntukan pertahanan sejak dua hingga tiga tahun lalu susulan perubahan landskap keselamatan di rantau ini.

“Rantau ini sekarang bukan lagi rantau biasa. la jadi rantau yang berkembang sebagai satu pusat ketegangan antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China,” kata beliau ketika berucap pada sesi penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini hari ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia perlu terus mengukuhkan hubungan dengan China dan Amerika Syarikat bagi memastikan kepentingan negara kekal terpelihara dalam menghadapi perubahan geopolitik berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan keselamatan di selatan Filipina juga perlu diberi perhatian, khususnya kerana kawasan itu mempunyai kedudukan yang berhampiran Sabah.

Katanya, Pulau Balabac di selatan Filipina yang paling hampir dengan Pulau Banggi, Sabah, hanya kira-kira 20 minit perjalanan dan kini dibangunkan kerajaan Filipina bersama Amerika Syarikat sebagai pangkalan ketenteraan berskala besar.

“Sebagai negara jiran yang begitu dekat dengan masalah tuntutan ke atas Sabah, tentunya kita sedikit runsing walaupun hubungan dua hala kita dengan Filipina sangat baik,” kata beliau.

Anwar berkata, perkembangan itu menunjukkan Malaysia perlu meningkatkan perhatian terhadap keupayaan pertahanan di Sabah, terutama dalam menghadapi sebarang perkembangan yang mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan pangkalan tentera dan pangkalan udara pada skala seperti di Balabac.

“Apakah kita ada upaya untuk memudahkan pangkalan tentera dan pangkalan udara sehebat yang dilakukan di Balabac? Saya jawab tidak.

“Tapi sekurang-kurangnya minimum pertahanan harus ditingkatkan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, keperluan memperkukuh pertahanan negara perlu diberikan perhatian serius selaras dengan perubahan landskap keselamatan serantau yang semakin mencabar.

Terdahulu, Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan, pegawai kanan kerajaan, wakil industri, persatuan, badan bukan kerajaan serta tokoh ekonomi dan ilmuwan.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.

Related Posts

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Hospital Bukit Mertajam (HBM), Pulau Pinang sebagai antara hospital hijau terbaik dunia merupakan pencapaian yang membanggakan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menerusi hantaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

PUTRAJAYA – Kes penipuan dalam talian terus mencatatkan angka membimbangkan apabila kerugian dilaporkan mencecah RM958 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar