Pemansuhan AUKU perlu lahirkan kerangka perundangan lebih progresif – Adam Adli

KUALA LUMPUR – Kerangka perundangan baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu memberi ruang lebih luas kepada universiti untuk membangunkan budaya akademik yang bebas, progresif dan terbuka, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli perubahan menyeluruh dalam landskap pendidikan tinggi, termasuk memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik serta penyertaan mahasiswa dalam tadbir urus institusi.

“Kita harus betul-betul pastikan bahawa kita boleh capai satu perubahan dan reformasi seperti yang kita perjuangkan selama ini. Dalam erti kata lain, tak boleh pemansuhan AUKU ini membawa kepada penggantian akta yang sama menindas seperti yang selama ini ditentang.

“Ia harus membuka sebuah medan ataupun peluang bagi semua universiti dan juga lapangan pengajian tinggi kita menjadi lebih progresif,” katanya ketika menerusi segmen Reaksi terbitan Bernama Radio hari ini.

Adam Adli berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan proses penggubalan kerangka berkenaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak melalui konsultasi secara menyeluruh dan inklusif.

Katanya, pandangan wakil mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik dan pembuat dasar penting bagi memastikan undang-undang baharu yang dibentuk benar-benar mencerminkan keperluan institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata, KPT turut meneliti rekod sejarah, tafsiran undang-undang serta cadangan asas seperti Akta Satu Pendidikan Tinggi dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia sebagai antara rujukan dalam membangunkan kerangka berkenaan.

“Kita harus membangunkan sebuah kerangka baharu yang bersifat membangun, yang bersifat membebaskan, yang betul-betul dapat memenuhi potensi satu-satu universiti sebagai sebuah tempat untuk percambahan ilmu, perdebatan yang sihat dan juga kebebasan untuk belajar dan berakademik.

“Kita harus pastikan bahawa penglibatan (pelbagai pihak).. untuk memastikan bahawa tak ada berlaku klausa pintu belakang dan sebagainya, kita harus buka ruang yang lebih luas, konsultasi yang lebih bermakna kepada semua pihak yang bakal dinaungi oleh akta yang bakal diperkenalkan kelak,” katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

AUKU yang diperkenalkan pada 1971 telah melalui tujuh siri pindaan, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024 pula menyaksikan kuasa mengenakan tindakan tatatertib terhadap pelajar universiti awam tidak lagi terletak pada Naib Canselor, sebaliknya diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad dilaporkan berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi meneliti kerangka perundangan baharu untuk memastikan tadbir urus serta pengurusan institusi pengajian tinggi terus terpelihara.

Related Posts

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Hospital Bukit Mertajam (HBM), Pulau Pinang sebagai antara hospital hijau terbaik dunia merupakan pencapaian yang membanggakan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menerusi hantaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

PUTRAJAYA – Kes penipuan dalam talian terus mencatatkan angka membimbangkan apabila kerugian dilaporkan mencecah RM958 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar