
TINDAK-TANDUK Datuk Dr Akmal Salleh semakin menghairankan berikutan kenyataannya yang membangkitkan semula desakan Perikatan Nasional (PN) mengenai status enam Ahli Parlimen dan ADUN Selat Kelang dari Bersatu yang bertindak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, gelagat Ketua Pemuda UMNO itu seolah-olah telah menjadi jurucakap PN sekali gus memudahkan ‘tugas’ Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.
“Kerja Muhyiddin makin lama, makin mudah bilamana Ketua Pemuda UMNO hari ini sudah menjadi jurucakap kepada Perikatan Nasional.
“Saya terpanggil menjawab jurucakap Muhyiddin ini. Saya rasa dah melampau sangat budak ini bila mana kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin tidak mendapat sambutan.
“Amat menghairankan, Akmal Saleh pula jadi jurucakap Perikatan Nasional. Muhyiddin ini bukan setakat pakar lompat.
“Dia (Akmal) tak layak cabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN di Selangor yang dimiliki ahli Bersatu yang menyokong kerajaan,” kata Lokman dalam klip video di Youtube.
Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut hairan terhadap Dr Akmal yang seolah-olah tidak tahu kewujudan Akta Anti Lompat Parti yang telah termaktub dalam Perlembagaan sejak Oktober 2022.
“Saya nak beritahu Dr Akmal, jangan terlalu nampak dangkal sehingga tak sedar yang akta yang digubal ialah akta lompat parti.
“Kita tak pernah menggubal akta menyokong mana-mana individu. Kita gubal akta lompat parti dan benda ini jadi longgar kerana kebodohan pemimpin Perikatan Nasional, pemimpin Bersatu,” katanya.
Lokman menegaskan, status tujuh wakil rakyat itu masih kekal dalam Bersatu meskipun menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan.
Tambahnya lagi, kepimpinan Bersatu patut disalahkan kerana bertanggungjawab menjadikan Akta Anti Lompat Parti ini longgar.
“Yang digubal ialah cadangan Datuk Seri Wan Junaidi. Tiga kali sampai tahap nak letak jawatan kerana cadangan beliau nak akta yang cukup lengkap, kuat kukuh tetapi dibantah oleh Bersatu.
“Sebab apa? Tak lain tak bukan mereka merancang untuk mencuri Ahli Parlimen BN selepas PRU15.
“Mereka tahu mereka tak boleh memerintah secara persendirian kecuali dengan mengharapkan pengkhianatan, pembelian ahli-ahli kita.
“Kenapa Dr Akmal nak mempertahankan sesuatu yang sebenarnya tak wujud?
“Jadi Akmal, sebelum cakap panjang, tolong baca. Jangan dengar sangat apa yang Muhyiddin baca. Muhyiddin baca sekerat, bukan penuh.
“Tolong baca apa itu akta anti lompat parti. Status kesemua wakil rakyat tersebut turut diperjelaskan,” katanya.




