Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi ekonomi meskipun menyedari sebahagian langkah yang diperkenalkan mungkin kurang popular dalam kalangan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, reformasi berkenaan penting bagi memastikan kedudukan ekonomi negara kekal kukuh serta memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Sering kali dasar yang diperkenalkan tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana manfaat jangka panjang yang lebih besar kepada negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, antara usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk penyasaran subsidi elektrik sejak 2023, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois secara berperingkat.

Beliau berkata, pendekatan penyasaran subsidi elektrik yang dilaksanakan secara berfasa tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik apabila 85 peratus daripada mereka masih mendapat perlindungan.

Katanya, inisiatif berkenaan pada masa sama membantu memperkukuh kemampanan sektor tenaga negara.

Bagi peluasan SST pula, beliau berkata langkah itu menyumbang kepada usaha meningkatkan hasil negara tanpa menjejaskan kuasa beli domestik, selain mengambil kira aspek keadilan sosial.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata pelaksanaan e-Invois secara berfasa menjadi antara instrumen penting dalam meningkatkan ketelusan serta kecekapan sistem percukaian negara.

“Pelaksanaan e-Invois secara berfasa kini menjadi tunjang kepada usaha meningkatkan ketelusan ekosistem perniagaan negara.

“Sistem itu bukan bertujuan membebankan, sebaliknya membantu mengecilkan saiz ekonomi bayangan (shadow economy), meningkatkan kecekapan taksiran serta mempercepatkan tadbir urus percukaian domestik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia menunjukkan perkembangan positif dengan KDNK negara mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026 sebelum meningkat kepada enam peratus pada suku kedua.

Katanya, perkembangan itu membawa kepada pertumbuhan KDNK sebanyak 5.7 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Jumlah pelaburan diluluskan pada 2025 pula mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM431.1 bilion, meningkat 11 peratus, manakala pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2026 kekal mampan pada RM92.8 bilion,” katanya.

Amir Hamzah berkata pencapaian berkenaan memperlihatkan daya tahan ekonomi negara meskipun persekitaran global ketika ini berdepan pelbagai ketidaktentuan.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 yang dibuat BNM antara empat hingga lima peratus turut telah dilampaui berdasarkan prestasi ekonomi pada separuh pertama tahun ini.

Katanya, IMF sebelum ini meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 4.3 peratus pada Januari 2026 kepada 4.7 peratus pada April dan mengekalkan unjuran itu dalam laporan terbaharunya pada Julai.

Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan prestasi makroekonomi yang positif tidak boleh dijadikan ukuran tunggal sekiranya rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan bagi mengurangkan beban rakyat, terutama susulan peningkatan harga minyak mentah dunia akibat konflik di Asia Barat.

“Antaranya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan bersasar tertinggi dalam sejarah.

“Kerajaan turut memperluas Program Jualan Rahmah MADANI pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran, meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta seluruh 40 zon di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, dengan 15,881 program dilaksanakan sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, kadar inflasi bagi tujuh bulan pertama 2026 bagaimanapun meningkat kepada 1.8 peratus, antara lain dipengaruhi kenaikan harga minyak mentah dunia.

Dalam pada itu, katanya, penyasaran subsidi diesel menerusi mekanisme BUDI MADANI Diesel yang dilaksanakan mulai 1 Julai lalu membolehkan rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter dengan had asas sehingga 200 liter sebulan.

Related Posts

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

PUTRAJAYA – Peningkatan pendapatan rakyat, peluasan peluang pekerjaan berkualiti dan usaha menangani kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan