
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperluas kerjasama bagi memajukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, pada Khamis.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan menerusi KUSKOP dengan Kerajaan Negeri merangkumi usaha membangunkan ekosistem keusahawanan dan koperasi yang lebih berdaya saing di negeri ini.
“KUSKOP juga membantu menyediakan ruang niaga bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penjaja dan usahawan kecil di Sabah,” ujarnya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah.
Menurut Mohamad, pihaknya turut menjemput Hajiji untuk merasmikan majlis penutupan pada hari terakhir Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Oktober depan.
Tambahnya, program itu dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung.
Hadir sama menyertai kunjungan berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta wakil TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.







