KULAI – Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta-merta sebuah kilang dalam kawasan perindustrian, di sini kerana didapati memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu memaklumkan, premis berkenaan akan kekal ditutup sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan rasmi serta melengkapkan perakuan aku janji.
“Penutupan premis ini mempunyai asas undang-undang yang kukuh bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 49(2) bagi Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) berkaitan Pengibaran Bendera mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.
“Meskipun kedudukan bendera telah diperbetulkan serta-merta, tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, susulan penutupan premis itu, pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut dan bakal memanggil pengarah syarikat berkenaan dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan.
“Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan,” ujarnya.
Pihak MPKu mengeluarkan notis penutupan sementara sebuah kilang kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Jelasnya, Pejabat Daerah Kulai turut menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan undang-undang dilaksanakan secara telus dan tanpa pilih kasih.
Beliau memberi amaran keras kepada seluruh pemilik premis, syarikat dan pengusaha industri di Johor agar tidak memandang ringan isu pengibaran bendera kebangsaan.
“Alasan cuai langsung tidak boleh diterima untuk menghalalkan tindakan membelakangkan penghormatan terhadap Jalur Gemilang.
“Prinsip Kerajaan Negeri Johor amat jelas bahawa maruah negara mesti dipelihara, Jalur Gemilang mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.
Terdahulu, tular foto memaparkan Jalur Gemilang tersebut dipasang secara terbalik depan sebuah kilang alat ganti hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.






