
KANGAR – Gara-gara perselisihan faham berkaitan isu peribadi, seorang lelaki yang bertindak membuat hantaran berunsur ugutan untuk mencederakan individu lain menggunakan sebilah pedang, ditahan polis.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, polis sebelum itu menerima laporan berhubung satu hantaran tular di Facebook Saya Anak Perlis yang didakwa mengandungi unsur ugutan.
Katanya, siasatan awal mendapati tindakan suspek dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu peribadi dengan individu berkenaan.
“Suspek berjaya dikesan dan ditahan di Langgar, Kedah pada 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan turut menemukan sebilah pedang di dalam kenderaan suspek yang dipercayai sama seperti dipaparkan dalam hantaran berkenaan,” katanya.

Suspek berusia 46 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan polis di Langgar, Kedah, semalam sebelum direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.
Menurutnya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan perintah reman selama tiga hari sehingga 19 Ogos diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 susulan penemuan pedang berkenaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.





