TAWAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau merampas pelbagai barang kawalan dan sebuah kenderaan bernilai RM104,138.40 selepas menerima satu kes serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.
KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, rampasan itu membabitkan sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram minyak masak.
“KPDN kemudian membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan,” menurut kenyataan KPDN, pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, KPDN mengingatkan mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi peruntukan undang-undang dan tidak terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan,” tambah kenyataan itu.
KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.




