SIKAP segelintir pihak dalam parti tertentu yang mengeluarkan pandangan pelbagai selepas pilihan raya kecil (PRK) Mahkota, Kluang, Johor, hujung minggu lalu agak mengecewakan Amanah Pahang.
Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, tindakan seumpama itu boleh mewujudkan situasi ‘kurang sihat’ dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pandangan orang-orang politik pasca PRK Mahkota agak ‘merengsakan’… umpama melepaskan geram masing-masing.
“Sepatutnya semua pihak mengenang kembali sejarah penubuhan Kerajaan Perpaduan yang jelas membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang turut mengambil contoh semangat sebenar Kerajaan Perpaduan di Pahang.
Katanya, kesepakatan antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sewajarnya menjadi rujukan kepada negeri lain.
“Gagasan besar dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan semata-mata untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Tapi, ia adalah satu proses inovasi dan evolusi reformasi dalam negara kita.
“Bukan mudah menyatukan kuasa besar politik negara yang sentiasa bertembung dalam apa jua idea dan isu dalam negara ini, namun formula itu sudah menampakkan hasil… ekonomi bertambah kukuh dan mata wang ringgit kekal stabil,” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama memuji kesepakatan antara bekas Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan di Pahang.
“Sejak kerjasama antara PH dan BN di Pahang wujud, PH tidak diketepikan dan mendapat tempat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Ada wakil PH diberi tanggungjawab sebagai Exco, dilantik sebagai ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan dan seterusnya dalam Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung.
“Inilah semangat perpaduan yang ingin diluaskan ke negeri lain dan ia sepatutnya mendapat sokongan baik daripada rakan pimpinan dalam komponen BN atau PH,” jelasnya.
Mohd Fadzli berharap isu seperti ini dapat ditangani dengan cermat dan segera agar tidak mencetuskan rasa tidak puas hati serta curiga berpanjangan.







