
KUANTAN – Polis Pahang menafikan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap kartel dadah berskala besar yang dikatakan menjalankan aktiviti di Genting Highlands, Bentong seperti tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana siasatan akan dilakukan sebaik laporan diterima.
“Apa-apa insiden (kes) yang berlaku sama ada di Genting Highlands atau di mana sekalipun, sekiranya ada laporan polis membabitkan insiden yang menyalahi undang-undang, kami tetap meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jadi untuk menyatakan ada kartel dadah besar beroperasi di Genting Highland, saya menafikannya,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahar yang sebelum ini Urusetia JPJKK Bukit Aman dilantik sebagai Ketua JPJKK Pahang baharu menggantikan Datuk Mohamad Noor Yusof Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia.






