
KOTA KINABALU – Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta di Hospital Queen Elizabeth II dijangka beroperasi pada suku ketiga 2029.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bangunan pusat berkenaan disasarkan siap pada suku ketiga 2027, diikuti tempoh 24 bulan sebelum mula beroperasi.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses perolehan bagi kerja ujian bahan yang dijangka selesai pada Ogos ini.
“Seterusnya, makmal pengurusan nilai (Value Engineering Lab) kita jangka akan dapat dilaksanakan pada suku pertama 2027,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah, di sini, pada Isnin.
Menurut Dr Dzulkefly, skop projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 1 (RP1) bagi 2026 itu merangkumi kerja menaik taraf bangunan, pengubahsuaian serta perolehan peralatan.
Peruntukan RM125 juta itu turut merangkumi kerja awalan, pengubahsuaian dan perolehan peralatan, selain pembangunan bangunan pusat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan merancang keperluan pakar lebih awal bagi memastikan Pusat Jantung Sabah mempunyai sumber manusia mencukupi apabila mula beroperasi.
“Saya yakin kita akan dapat merancang lebih awal dan menambah jumlah pakar yang sedang dalam latihan. Perancangan itu termasuk penambahan pakar bedah kardiotorasik yang kini masih terhad di Sabah,” ujarnya.






