
PEMANSUHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai realisasi perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak beliau menjadi aktivis mahasiswa.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, keberanian kerajaan memansuhkan AUKU mempunyai nilai simbolik kerana Anwar sendiri pernah memperjuangkan penghapusan akta berkenaan ketika zaman mahasiswa.
Beliau berkata, perjuangan mahasiswa untuk memansuhkan AUKU sudah berlangsung sejak beberapa dekad lalu, namun hanya kerajaan pimpinan Anwar berani mengambil langkah berkenaan.
“Ini satu tindakan kerajaan yang berani kerana tidak ada kerajaan sebelum ini yang berani menghapuskan AUKU. Gerakan mahasiswa sejak beberapa dekad lalu memperjuangkan penghapusannya dan hari ini ternyata ia sudah dihapuskan.
“Ini juga satu kemenangan kepada Anwar Ibrahim kerana perjuangan beliau sebagai mahasiswa dahulu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).
Mazlan berkata, AUKU sebelum ini dilihat sebagai antara perkara yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta menjalankan aktiviti di institusi pengajian tinggi.
Katanya, pemansuhan akta itu bukan sahaja memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa, malah mampu meningkatkan keyakinan golongan berkenaan terhadap kerajaan.

Anwar pada Sabtu mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, dengan alasan mahasiswa masih tidak berpuas hati walaupun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan telah dilakukan.
Sementara itu, reformis yang juga bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, pemansuhan AUKU tidak wajar ditafsirkan sebagai langkah untuk menarik sokongan politik daripada golongan muda kepada kerajaan atau mana-mana parti.
Sebaliknya, beliau berkata pemansuhan itu perlu dilihat sebagai usaha mengembalikan hak anak muda, khususnya mahasiswa, untuk terlibat dalam politik secara bebas selain menggalakkan mereka menyumbang idea dan kreativiti kepada pembangunan negara.

Katanya, kebebasan politik yang diberikan kepada golongan muda perlu disertai kesedaran bahawa setiap hak turut datang bersama tanggungjawab.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja lebih peka terhadap perkembangan politik, tetapi turut memahami tanggungjawab mereka dalam pembangunan negara.
“Isunya bukan politik untuk mendapatkan sokongan mana-mana pihak, tetapi membina generasi yang akan datang supaya lebih peka dalam politik dan bertanggungjawab dalam pembangunan negara,” katanya.







