
PUTRAJAYA – DAP memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Keputusan itu dibuat menerusi undian perwakilan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026, hari ini, dengan 1,857 undi atau 88.2 peratus menyokong parti meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 242 undi atau 11.5 peratus pula memilih supaya DAP keluar daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Keputusan berkenaan sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan DAP menarik diri daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum tamat penggal Parlimen semasa.
Usul untuk menentukan kedudukan parti itu dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Pengundian itu membabitkan lebih 2,106 perwakilan DAP yang menentukan hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan. Dengan keputusan itu, DAP akan meneruskan peranan dalam pentadbiran Persekutuan dan menyokong usaha kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.





