
KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyokong cadangan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi diesel dibawah inisiatif BUDI kepada 500 liter sebulan, khususnya bagi penerima yang layak di Sabah.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, cadangan wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku semasa Kongres Nasional Keadilan di Melaka pada Sabtu membawa suara dan realiti kehidupan sebenar rakyat Sabah.
“Pada pandangan kami, cadangan ini munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI.
“Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini.
“Masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan tetapi ia sebahagian keperluan untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
“Sebab itu, sesuatu kadar yang dilihat mencukupi berdasarkan pengiraan di atas kertas, belum tentu mencukupi apabila berhadapan dengan realiti perjalanan di bumi Sabah,” tegasnya.
Menurutnya, AMK Sabah terus memahami dan menyokong matlamat Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi negara lebih bersasar, mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
“Namun, subsidi bersasar juga seharusnya mengambil kira perbezaan keperluan antara wilayah, supaya dasar yang baik tidak akhirnya memberikan kesan yang berbeza kepada rakyat hanya kerana keadaan geografi mereka tidak sama,” ujarnya.
Justeru, Zaidi berharap cadangan kuota 500 liter sebulan dapat dinilai secara objektif berdasarkan data, jarak perjalanan, aktiviti ekonomi dan keperluan sebenar rakyat Sabah.
“Kita tidak mahu rakyat di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana perjalanan mereka lebih jauh daripada orang lain.
“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Kita hanya mahu keperluan Sabah dinilai berdasarkan realiti Sabah.
“AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI sentiasa terbuka mendengar pandangan dan melakukan penambahbaikan apabila sesuatu dasar memerlukan penyelarasan, ” jelasnya.







