
PUTATAN – Tiga program berprestij yang dilaksanakan secara serentak oleh SMK Putatan menjadi platform memperkasa potensi pelajar dalam bidang sains dan teknologi, keusahawanan serta aktiviti kemasyarakatan.
Ahli Parlimen Patutan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Karnival STEM, ‘Market Fest’ dan ‘Dermathon’ membuktikan komitmen warga sekolah dalam menyediakan ruang kepada pelajar meneroka ilmu dan pengalaman di dalam serta luar bilik darjah.
“Bidang STEM sangat penting untuk masa depan anak-anak kita dan negara kerana dunia moden kini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.
“Program seperti Karnival STEM mampu memupuk minat pelajar terhadap bidang berkenaan, selain membentuk generasi kreatif, inovatif dan berupaya berfikir secara kritis, ” katanya pada penutupan program berkenaan, pada Sabtu.

Menurut Shahelmey, menerusi ‘Market Fest’, program ini memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat keusahawanan, meningkatkan celik kewangan serta memupuk kreativiti dalam mengendalikan perniagaan.
Katanya, aktiviti ‘Dermathon’ yang turut dianjurkan dapat membantu menaik taraf infrastruktur dan menyokong pembangunan sekolah bagi menyediakan fasiliti pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.
“Kami di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan akan sentiasa menyokong usaha murni institusi pendidikan seperti SMK Putatan demi pembangunan anak bangsa.
“Saya berharap penganjuran Karnival STEM, Market Fest dan Dermathon dapat menjadi wadah melahirkan generasi berkualiti, berkemahiran tinggi serta mempunyai sahsiah terpuji, ” ujarnya.

Program yang melibatkan sekolah-sekolah dalam daerah Penampang itu telah bermula sejak 15 Julai lalu dengan pelbagai aktiviti bagi memberi peluang kepada pelajar meneroka ilmu, mencuba eksperimen, mengembangkan potensi diri dan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi.



