
SEMPORNA – Rangkaian Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara kini mencecah 14,068 premis setakat 7 Ogos lalu, berbanding kira-kira 700 premis ketika program itu diperkenalkan pada 2024.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peluasan rangkaian itu penting bagi memastikan bantuan bersasar kerajaan dapat diakses dengan lebih mudah, pantas dan dekat dengan komuniti setempat.
“Pendekatan kerajaan bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai, boleh digunakan dan memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan rakan niaga berkenaan, sebanyak 1,495 premis beroperasi di Sabah, termasuk 32 kedai di Semporna dan 115 di Tawau.
Amir Hamzah berkata, penggunaan SARA di Sabah menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila RM501.2 juta daripada peruntukan SARA Bulanan telah dibelanjakan setakat 7 Ogos, membabitkan 815,689 penerima.
Bagi SARA Untuk Semua di Sabah pula, sebanyak RM158.9 juta atau 88 peratus daripada peruntukan telah dibelanjakan oleh 1.8 juta penerima dalam tempoh sama.
Katanya, kadar transaksi yang tinggi di Sabah membuktikan faktor lokasi terpencil dan kekangan geografi tidak menghalang rakyat menggunakan kredit bantuan yang disalurkan terus melalui MyKad.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, liputan produk di bawah sistem SARA kini diperluas kepada lebih 140,000 jenis barangan keperluan asas, termasuk barangan dapur, produk kebersihan diri serta makanan sejuk beku seperti ayam dan naget.
Kerajaan turut memudah cara penyertaan peruncit kecil dan koperasi kampung sebagai rakan niaga dengan menyediakan sistem titik jualan (POS) secara percuma, sekali gus tidak memerlukan peniaga membeli peralatan berkenaan.
Amir Hamzah berkata, peningkatan peruntukan keseluruhan STR dan SARA daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion tahun ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus mengenal pasti kawasan luar bandar dan pulau yang berdepan kekangan akses bagi memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada menerima manfaat SARA.






