Kerajaan buka ruang lebih luas untuk mahasiswa, AUKU dimansuhkan

AYER KEROH – Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberikan ruang kebebasan lebih luas kepada mahasiswa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang sebelum ini menyuarakan tuntutan supaya akta berkenaan dimansuhkan, meskipun beberapa pindaan sudah dilaksanakan bagi memberikan lebih kebebasan kepada golongan berkenaan.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas. Kita bebaskan dengan beberapa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Mereka mengemukakan memorandum, maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menggariskan agenda reformasi pendidikan kerajaan, termasuk usaha memastikan sistem pendidikan negara lebih menyeluruh dan tidak mewujudkan jurang antara pelajar di bandar dengan kawasan luar bandar.

Beliau berkata, reformasi pendidikan perlu bermula sejak peringkat awal dengan memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti tanpa mengira lokasi.

Anwar berkata, usaha memperkukuh pendidikan awal penting bagi memastikan anak-anak di kawasan pedalaman dan luar bandar tidak menerima pendidikan yang dianggap sebagai kelas kedua berbanding mereka di bandar.

Beliau berkata, agenda reformasi yang dilaksanakan kerajaan juga perlu mengambil kira suara golongan muda, termasuk mahasiswa yang mempunyai pandangan serta tuntutan terhadap sistem pendidikan dan kehidupan kampus.

Katanya, kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat dan bersedia melakukan penyesuaian apabila terdapat kelemahan dalam pelaksanaan dasar.

“Dengar, dengar dan bersedia untuk berubah. Bukan mendengar untuk memberi syarahan. Saya mahu kita lebih banyak mendengar,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan reformasi yang dilaksanakan tidak terpisah daripada aspirasi rakyat, khususnya generasi muda.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya menganggap sesuatu dasar sudah sempurna hanya kerana ia sudah dilaksanakan, sebaliknya perlu sentiasa terbuka menerima teguran dan pandangan untuk melakukan penambahbaikan.

Dalam pada itu, Anwar mengakui masih banyak agenda reformasi yang perlu diteruskan, termasuk beberapa pembaharuan yang sudah lama tertangguh.

Katanya lagi, selepas kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi negara berada pada landasan yang lebih baik, kerajaan perlu bergerak dengan lebih tegas dalam melaksanakan agenda reformasi.

“Sekarang, teruskan dengan lebih tegas agenda reformasi,” katanya.

Beliau berkata, reformasi pendidikan adalah antara bidang yang perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu memenuhi keperluan generasi akan datang.

Anwar turut menegaskan bahawa pembaharuan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada satu aspek, sebaliknya perlu meliputi keseluruhan sistem supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, penglibatan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan membuktikan golongan muda mempunyai kesedaran terhadap hala tuju negara dan perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan lebih besar.

Katanya, kerajaan akan terus membuka ruang kepada generasi muda untuk menyumbang idea serta terlibat dalam proses perubahan negara.

Pengumuman pemansuhan AUKU itu menjadi antara perkara utama yang disentuh Anwar dalam ucapan dasarnya yang mengangkat agenda reformasi sebagai antara teras perjuangan PKR. Kongres Nasional PKR 2026 berlangsung pada 15 dan 16 Ogos di MITC, Ayer Keroh, dengan tema ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI’. 

Related Posts

Bang Mat saksi perjuangan panjang Anwar Ibrahim bawa islah kepada negara – Mat Sabu

MELAKA – Reformasi tidak boleh terhenti selepas memperoleh kuasa, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu. Beliau berkata, beliau menjadi saksi kepada perjuangan panjang Presiden Parti Keadilan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengamal media bantu polis tingkat kesedaran cegah jenayah

KANGAR – Peranan media bukan sekadar melaporkan kejadian jenayah malah menjadi medium penting membantu polis memberi kesedaran mengenai keselamatan kepada masyarakat. Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bang Mat saksi perjuangan panjang Anwar Ibrahim bawa islah kepada negara – Mat Sabu

Bang Mat saksi perjuangan panjang Anwar Ibrahim bawa islah kepada negara – Mat Sabu

Pengamal media bantu polis tingkat kesedaran cegah jenayah

Pengamal media bantu polis tingkat kesedaran cegah jenayah

Anwar mahu PKR jadi wadah semua generasi

Anwar mahu PKR jadi wadah semua generasi

Ops MARDOF: Maritim periksa 211 vesel, dua vesel dikesan lakukan kesalahan

  • By Fatin
  • August 15, 2026
Ops MARDOF: Maritim periksa 211 vesel, dua vesel dikesan lakukan kesalahan

Cabaran kepolisan negeri sempadan tidak boleh dipandang ringan

Cabaran kepolisan negeri sempadan tidak boleh dipandang ringan

Pesta Makan Tahun Kedayan platform pelancongan budaya, jana ekonomi setempat

Pesta Makan Tahun Kedayan platform pelancongan budaya, jana ekonomi setempat