
AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti yang menongkah arus politik berasaskan kaum, selain memastikan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan parti itu sejak awal penubuhannya bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya melalui pelbagai cabaran, tekanan dan tentangan.
Beliau berkata, PKR dibentuk daripada perjuangan yang getir, termasuk ketika gerakan berkenaan berdepan serbuan, cercaan dan kecaman, namun ia terus bertahan kerana membawa gagasan politik yang berbeza daripada arus perdana ketika itu.
“Parti ini diasaskan dalam pahit getir perjuangan, dari dewan ke jalanan, diserbu, dihina, dicerca saban hari.
“Ini terbentuk seolah-olah menongkah arus. Arusnya lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, gagasan untuk membina sebuah parti yang tidak berasaskan kaum bukan sesuatu yang mudah dalam landskap politik Malaysia, namun PKR tetap memilih untuk membawa perjuangan yang merentasi batas kaum.
Menurutnya, parti berkenaan juga berpegang kepada prinsip bahawa kekuatan Malaysia bukan hanya terletak di Semenanjung, sebaliknya perlu turut mengambil kira kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Parti-parti Semenanjung jarang berbicara soal Sabah dan Sarawak, melainkan menjelang pilihan raya.
“Tetapi kita bertekad mahu menjadikan ini parti rakyat. Malaysia kuat di Semenanjung tetapi mesti juga menyantuni saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengangkat Allahyarham Datuk Onn Jaafar sebagai antara tokoh negarawan yang pernah mencuba membina gagasan politik yang merentasi kaum.
Beliau berkata, percubaan Onn Jaafar untuk membawa gagasan berkenaan pada ketika itu juga berdepan cabaran besar, namun ia membuktikan bahawa usaha membina politik yang tidak berasaskan kaum bukan perkara baharu dalam sejarah negara.
“Percubaan yang paling terkesan ialah Allahyarham Datuk Onn Jaafar, negarawan ulung, cuba pada ketika itu memilih untuk meninggalkan UMNO untuk melakar satu gagasan bangsa negara yang menjadi wakil daripada semua kaum negara.
“Negarawan ulung, berpengaruh, perjuangan besar, tetapi tidak mudah,” katanya.
Anwar berkata, ketika beliau bersama rakan-rakan seperjuangan mengasaskan Parti Keadilan sebelum bergabung dengan Parti Rakyat menjadi PKR, ramai yang menganggap gagasan berkenaan sebagai impian yang sukar direalisasikan.
Katanya, walaupun menerima pandangan bahawa perjuangan itu tidak berpijak di bumi nyata, beliau bersama golongan muda ketika itu tetap memilih untuk meneruskan perjuangan berkenaan.
“Ramai yang mengesan kepada saya, ini impian yang cerah, tetapi tidak jejak pada bumi nyata.
“Tetapi kita tetap, terutama anak muda pada masa itu, teguh, menongkah arus, membuktikan bahawa Malaysia sudah harus matang daripada politik dan dewasa,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan politik Malaysia tidak boleh lagi meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat, termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Cina, India, Orang Asli dan golongan minoriti.
“Politik di Semenanjung Tanah Melayu ini tidak boleh pinggirkan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“Dan politik di bumi yang teras Melayu ini tidak boleh menganggap rakan-rakan Cina, India, Orang Asli dan minoriti sebagai tertinggal,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan PKR perlu terus berasaskan prinsip yang membawa perubahan kepada negara, selain menghargai pengorbanan anggota parti yang selama ini mempertahankan perjuangan berkenaan.
Kongres Nasional PKR 2026 berlangsung selama dua hari di MITC, Ayer Keroh, dengan tema ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI’, menghimpunkan kira-kira 2,500 perwakilan serta 3,000 pemerhati.






