
LIMBANG – Pesta Makan Tahun Kedayan bukan sahaja menjadi wadah memelihara warisan dan identiti masyarakat Kedayan, malah berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang mampu merancakkan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran pesta berkenaan yang kini dimasukkan dalam kalendar perayaan tetap Sarawak mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri.
Menurutnya, kehadiran pelancong sempena penganjuran acara itu secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya peniaga dan pengusaha kecil.
“Apabila semakin ramai pengunjung hadir, ia akan memberi manfaat kepada peniaga makanan, pengusaha produk tempatan, kraftangan, inap desa, pengangkutan dan pelbagai sektor perkhidmatan lain.
“Justeru, penganjuran program seperti ini amat penting kerana manfaatnya bukan sahaja kepada penganjur, tetapi turut dirasai pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Pesta Makan Tahun Kedayan 2026 di Dewan Terbuka Kampung Nauran, semalam.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, penganjuran pesta berkenaan turut memainkan peranan penting dalam memastikan adat, budaya dan warisan masyarakat Kedayan terus dipelihara, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, masyarakat Kedayan perlu berbangga dengan identiti dan warisan yang diwarisi daripada generasi terdahulu serta memastikan ia terus dikenali oleh generasi akan datang.
“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini menyokong penuh penganjuran Pesta Makan Tahun Kedayan dan program kebudayaan seumpamanya.
“Kita mahu warisan serta identiti masyarakat Kedayan terus dipelihara dan pada masa sama diperkenalkan kepada masyarakat luar,” katanya.
Menurutnya, Sarawak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian kaum, etnik, agama dan budaya yang menjadi antara kekuatan utama negeri itu.
Beliau berkata, selain masyarakat Kedayan, pelbagai kaum lain turut mempunyai pesta dan perayaan masing-masing yang telah menjadi sebahagian daripada kalendar perayaan tetap Sarawak.

“Keunikan ini menjadikan Sarawak sebuah negeri yang istimewa. Walaupun kita berbeza dari segi budaya, bahasa, agama dan adat resam, kita tetap dapat hidup bersama dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Abdul Rahman turut berharap Pesta Makan Tahun Kedayan dapat terus diperkasakan dan dikembangkan sebagai acara tahunan yang lebih besar dengan penglibatan usahawan tempatan, penggiat seni budaya serta golongan belia.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pihak swasta, pemimpin masyarakat, sukarelawan dan penaja yang memberikan sokongan dalam menjayakan penganjuran pesta berkenaan.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan acara berkenaan terus berkembang dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.





