
KUALA LUMPUR – DAP dijangka akan kehilangan peluang dalam menghulurkan bantuan dan imbuhan kepada pengundinya sekiranya parti itu keluar daripada barisan Kabinet Kerajaan MADANI.
Penganalisis politik Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, tindakan itu tidak mampu dilaksanakan kepada penyokong mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika DAP tidak memiliki kuasa serta suara dalam kerajaan persekutuan.
Menurutnya, jika DAP hanya berperanan sebagai backbencher kerajaan sahaja, parti itu kemungkinan di kalangan penyokong tegar menyambut baik tindakan itu sebagai berprinsip dan tidak akan berkompromi kerana kuasa dan imbuhan sebagai menteri.
“Akan tetapi, ia akan dilihat oleh sebahagian pengundi lain yang mungkin melihat DAP sebagai kurang sikap setiakawan kerana menjarakkan diri daripada Pakatan Harapan (PH) apabila jenama ini menjadi kurang popular.
“Apabila kedua-dua ini dijumlahkan, secara bersihnya (in net term) DAP mungkin mendapat lebih sedikit undi. Akan tetapi, jika UMNO turut keluar kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubar Parlimen, maka undi yang DAP hilang mungkin melebihi undi yang ia dapat.
“Ini kerana ramai akan salahkan DAP atas kejatuhan Kerajaan Madani. Jadi saya menjangkakan DAP tidak akan keluar Kerajaan MADANI, tetapi kejutan boleh berlaku kerana undi perwakilan 4,000 ketika Persidangan Kebangsaan DAP adalah rahsia,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, dalam kalangan penyokong tegar DAP, mereka lebih pantang parti hilang prinsip dan pendirian daripada hilang kuasa dan imbuhan dan dalam kalangan ini, parti terbabit mungkin menjadi lebih kuat.
Menurut beliau, jika mengambil kira pengundi atas pagar yang mungkin lebih cenderung melihat tindakan ini secara negatif, kesan bersih (net effect) menjadi kecil sekali pun masih positif sedikit.

“Apa yang akan melemahkan DAP dengan jelas ialah jika UMNO turut bawa 30 kerusi BN keluar Kerajaan MADANI dan memaksa PRU16 diawalkan.
“Ataupun jika PAS tiba-tiba masuk Kabinet untuk mengisi kekosongan DAP atas dalil perpaduan Melayu. DAP akan disalahkan dan secara bersihnya (in net term) kehilangan lebih undi,” katanya.
DAP dijadual mengadakan kongres kebangsaan khas Ahad ini, dengan perwakilannya dijangka memutuskan sama ada parti itu patut kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tempoh Parlimen semasa berakhir pada Disember tahun depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini mengesahkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu telah bersetuju untuk mengadakan kongres tersebut dengan kira-kira 4,000 perwakilan layak mengundi usul berkenaan.
Mesyuarat itu diadakan ketika DAP berdepan tekanan yang semakin meningkat berhubung cara pengendalian kerajaan terhadap kes rasuah, isu kaum dan agama serta kesungguhan pelaksanaan reformasi dijanjikan yang telah menyumbang kepada kebimbangan mengenai sokongan dalam kalangan masyarakat minoriti dan pengundi progresif.
Tekanan itu meningkat susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, apabila PH mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam pilihan raya peringkat negeri, selain Anthony juga kehilangan kerusinya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 13 tahun.
Anthony kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas kekalahannya di Chennah, manakala ADUN Nilai dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan J Arul Kumar dilantik sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa 10 Ogos.
Kongres pada 16 Ogos di Putrajaya itu dijangka memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan perpaduan serta strateginya menjelang PRU akan datang.






