
IPOH – Lebih RM4.08 juta nilai barang kes membabitkan pelbagai jenis dadah dan ketum dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak selepas kira-kira 5,000 kertas siasatan berkaitan kes berkenaan selesai melalui prosiding mahkamah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelupusan itu membabitkan eksibit kes dari 16 daerah di Perak bagi tempoh antara 2000 hingga 2025 dan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.
“Pelupusan ini melibatkan barang kes yang telah selesai melalui segala prosiding mahkamah dan dilaksanakan mengikut prosedur serta ketetapan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Antara bahan yang dilupuskan ialah 39.28 kilogram (kg) syabu, 20.30kg yaba, 8.14kg heroin, 2.79kg ganja dan 120.55 gram ketamin.
Turut dilupuskan 282.7kg daun ketum, 2.33 juta mililiter (ml) cecair ketum, 22,465.49ml ubat batuk, 65.81 gram ekstasi serta sejumlah Eramin Five dan kafein.
Mohd Alwi berkata, kesemua barang kes berkenaan dihantar kepada syarikat berlesen untuk proses pelupusan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JSJN Perak merekodkan 12,916 tangkapan pesalah dadah bagi tempoh Januari hingga 10 Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,934 tangkapan membabitkan kes pengedaran dadah, meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan tangkapan kes pengedaran ini menunjukkan polis terus memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah, khususnya membabitkan sindiket yang menjadi pembekal kepada pasaran tempatan,” katanya.
Dalam tempoh sama, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.33 juta, selain menyita harta bernilai RM4.36 juta menerusi tindakan di bawah Akta Pelucuthakan Harta 1988.
Menurutnya, PDRM Perak akan terus memperkasakan risikan serta operasi bersepadu bagi menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan memutuskan rantaian bekalan bahan terlarang daripada sampai ke pasaran.
“Kita juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak polis. Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu polis membanteras jenayah dadah secara lebih berkesan di negeri ini,” katanya.





