
SHAH ALAM – Shah Alam Convention Centre (SACC) dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre (SITC) bagi menyokong pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata penjenamaan itu mencerminkan perubahan peranan pusat konvensyen berkenaan daripada sekadar lokasi penganjuran acara kepada hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, kompetitif serta berorientasikan masa hadapan.
Platform itu dijangka membuka lebih banyak ruang untuk jaringan strategik, kerjasama rentas sempadan, inovasi komersial serta peluang perdagangan dan pelaburan.
“SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan,” menurut PKNS dalam kenyataan pada Khamis.
PKNS berkata kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam.
Usaha meremajakan pusat bandar itu turut merangkumi penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain, khususnya di Seksyen 14.
Setiap komponen akan diberikan identiti, karakter dan fungsi tersendiri bagi membentuk jenama SA Sentral yang lebih kukuh, tersusun serta saling melengkapi.
Transformasi SACC kepada SITC dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikan kawasan itu sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.
PKNS berkata penjenamaan berkenaan bukan sekadar perubahan identiti, sebaliknya mencerminkan visinya untuk memaksimumkan potensi aset strategik serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa.





