
KUALA LUMPUR – Manipulasi akaun pelaburan sehingga Lembaga Tabung Haji (TH) kelihatan mencatat keuntungan besar akhirnya boleh menyebabkan institusi itu menanggung beban kewangan, kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sekretariat Perpaduan Madani, Amidi Abd Manan.
Beliau berkata, perkara itu amat tidak bertanggungjawab kerana membabitkan pengurusan dana pendeposit yang sepatutnya dilaksanakan berdasarkan prinsip amanah, integriti dan kejujuran.
“Ini merupakan satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab dan cukup tidak berakhlak, yang akhirnya menjadikan TH terpaksa menggunakan dana atau duit pendeposit untuk menampung perbelanjaan.
“Sedangkan sepatutnya perbelanjaan TH, pengurusan dan sebagainya adalah hasil daripada pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui pada Himpunan Aman 2.0 Penyerahan Memorandum Berhubung RCI TH kepada Perdana Menteri di hadapan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Amidi berkata, akaun pelaburan yang dimanipulasi sehingga memberikan gambaran seolah-olah TH mencatat keuntungan besar akhirnya boleh membawa kesan buruk terhadap pengurusan kewangan institusi itu.
“Jadi akaun pelaburan itu dimanipulasi, dibuat seolah-olah kelihatan untung yang besar dan akhirnya ini menyebabkan kerosakan,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat sebagai persoalan amanah dan tadbir urus, bukan semata-mata dari sudut politik.
Katanya, pengurusan institusi yang membabitkan dana pendeposit perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, tanggungjawab dan kejujuran bagi memastikan kepentingan masyarakat terus terpelihara.
“Untuk menjaga bukan semata-mata bangsa itu boleh hidup, boleh makan. Dalam masa yang sama, kita mahu bangsa ini dijaga dengan penuh integriti, bertanggungjawab dan kejujuran.
“Perkara-perkara yang mampu membina kekuatan bangsa itu sendiri perlu diberi perhatian,” katanya.


