Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung dakwaan kenyataan fitnah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung kenyataan yang didakwa dibuat ketika satu ceramah politik di Pahang, Jun lalu.

Anwar selaku plaintif memfailkan saman berkenaan melalui firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi, di sini dengan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang merujuk kepada plaintif ketika berucap dalam ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, pada 14 Jun lalu di hadapan orang awam dan wakil media.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan bahawa rakaman video ucapan berkenaan kemudiannya dimuat naik, diterbitkan atau diterbitkan semula di akaun YouTube ‘@Malaysianometry’ pada keesokan harinya dengan tajuk ‘Tuan Ibrahim: Pengulas bola direhatkan lepas sertai Pas, ini tanda-tanda PH nak mampus’.

Menurut plaintif, sehingga tarikh saman difailkan, klip video berdurasi 11 minit itu telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen serta masih boleh diakses, ditonton dan dikongsi orang awam.

Anwar turut mendakwa bahawa pada 8.08 minit pagi, 15 Jun lalu, Tuan Ibrahim menerbitkan klip video yang mengandungi kenyataan didakwa berunsur fitnah itu menerusi akaun Facebook rasminya, @Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan berkenaan kemudian turut dimuat naik di akaun Facebook ‘Pas Pahang’ pada 24 Jun lalu, menurut plaintif.

Anwar mendakwa perkataan yang didakwa memfitnah itu secara khusus dan langsung merujuk kepada dirinya, termasuk watak, integriti, jawatan, profesion atau kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Plaintif berkata, kenyataan berkenaan adalah tidak benar, palsu, tidak berasas, keterlaluan dan berniat jahat serta dibuat atau diterbitkan tanpa fakta atau bukti sokongan yang munasabah.

“Plaintif tidak pernah mengarahkan, mempengaruhi atau menyebabkan Polis Diraja Malaysia menyiasat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana individu semata-mata hanya kerana individu berkenaan telah mengkritik plaintif, kerajaan atau mana-mana anggota pentadbirannya,” menurut pernyataan tuntutan itu.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah campur tangan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam menentukan, memilih, mengundi atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan melalui proses perlembagaan atau adat berkaitan di negeri itu.

Menurut plaintif, tindakan defendan menyebabkan beliau mengalami kerosakan serius terhadap reputasi, watak, maruah, integriti, kredibiliti, nama baik serta kedudukannya, sama ada secara peribadi atau dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Tambun.

Sehubungan itu, Anwar memohon perintah injunksi bagi menghalang Tuan Ibrahim atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah berkenaan.

Beliau turut memohon supaya defendan memadamkan penerbitan yang didakwa berunsur fitnah itu daripada mana-mana akaun media sosial, platform atau penerbitan yang berada dalam milikan, jagaan atau kawalannya.

Selain ganti rugi am, Anwar turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta apa-apa relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

Related Posts

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbang cadangan mengembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan di pulau peranginan itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

PUTRAJAYA – Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA yang disiasat berkait penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di mahkamah minggu hadapan. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM