
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat masalah hernia perut atau para-umbilical hernia, hari ini.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, prosedur berkenaan selesai dengan lancar dan Anwar kini menjalani proses pemulihan di bawah pengawasan pasukan pakar perubatan.
“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, sebelum ini memaklumkan bahawa Anwar akan dipantau pasukan perubatan untuk tempoh dua hari selepas menjalani prosedur berkenaan.
Beliau turut meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan pemeriksaan dan rawatan Perdana Menteri dipermudah serta proses pemulihannya berjalan lancar.
“Marilah kita mendoakan supaya segala urusan pemeriksaan dan prosedur Perdana Menteri dipermudah serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.



