
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) pada 11 Ogos ini ditangguhkan ke tarikh yang lebih sesuai susulan perkembangan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Perdana Menteri kembali bertugas seperti biasa sebelum laporan berkenaan dibentangkan..
“Perikatan Nasional mendoakan agar YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri II dikurniakan kesembuhan segera agar dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, surat permohonan penangguhan itu telah diterima secara rasmi oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, isu Tabung Haji merupakan perkara penting yang melibatkan kepentingan awam, justeru PN berpandangan pembentangan laporan RCI berkenaan wajar dibuat sendiri oleh Perdana Menteri.
Katanya, perkara itu penting memandangkan Anwar sebelum ini sendiri membangkitkan isu berkenaan kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu. Justeru, kehadiran YAB Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan,” katanya.
Takiyuddin berkata, kehadiran Perdana Menteri bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan beliau sebelum ini.
PN turut mendoakan agar Anwar dan Timbalan Perdana Menteri II diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.



