SUNGGUH melucukan apabila bulan dan bintang pada Jalur Gemilang di Dataran Batu Buruk, Terengganu, tiba-tiba ‘menghilang’ dan alasan yang diberikan ialah masalah teknikal serta tiupan angin yang kuat.
Begitulah penjelasannya dari Menteri Besar Trengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bulan dan bintang tertanggal kerana angin. Mungkin anginnya terlalu kuat. Atau mungkin juga Jalur Gemilang yang digunakan itu berkualiti “cap ayam” sehingga bulan dan bintang pun tidak mampu bertahan.
Tetapi persoalan sebenar bukan sekadar bagaimana bulan dan bintang itu boleh tertanggal.
Persoalannya ialah di mana pemantauan pihak yang bertanggungjawab selepas Jalur Gemilang itu dipasang?
Adakah selepas dipasang, semuanya dianggap selesai?
Pasang bendera, ambil gambar, kemudian balik?
Sedangkan bendera negara yang dipasang di tempat awam sepatutnya diperiksa dari semasa ke semasa, terutama apabila ia berada di kawasan terbuka dan terdedah kepada hujan serta angin.
Bagi penulis, kita sudah lama tidak melihat Jalur Gemilang berada dalam keadaan sebegitu.
Malah ketika era 1970-an dan 1980-an dahulu, bendera yang dipasang di kawasan awam pun nampak lebih kemas dan terjaga.
Kalau benar masalahnya berpunca daripada angin, maka persoalannya mudah sahaja iaitu kenapa tidak diganti apabila kerosakan itu disedari?
Ini bukan soal mencari kesalahan Menteri Besar Terengganu. Ini soal maruah Jalur Gemilang.
Kalau sedikit bahagian bintang rosak atau tercabut, mungkin masih boleh dianggap sebagai kerosakan kecil. Tetapi apabila bulan dan bintang terus hilang, ia bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata.
Penulis tertanya-tanya, apa yang akan berlaku sekiranya kejadian yang sama berlaku di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan, khususnya Pulau Pinang atau Selangor?
Adakah kita akan mendengar jeritan daripada para ‘pejuang Melayu’?
Adakah media sosial akan penuh dengan kecaman?
Adakah akan muncul pelbagai tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak menghormati Jalur Gemilang?
Adakah akan ada pihak yang berhari-hari menjadikan isu itu sebagai bahan ceramah dan modal politik?
Kita semua tahu jawapannya. Mungkin bulan dan bintang itu sudah lama hilang dari bendera, tetapi suara mereka yang biasanya paling lantang juga tiba-tiba hilang bersama bulan dan bintang tersebut.
Inilah yang rakyat persoalkan.
Di manakah para hero Malaya?
Di manakah mereka yang selama ini begitu lantang apabila Jalur Gemilang dikatakan tidak dihormati?
Di manakah mereka yang cepat tampil menjadi jaguh Melayu apabila berlaku sesuatu isu berkaitan simbol negara?
Atau keberanian itu hanya muncul apabila kesalahan dilakukan oleh pihak politik yang mereka tidak suka?
Penulis juga tertanya-tanya tentang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dan Ketua Penerangan Pas, Fadzil Shaari.
Mereka sering dilihat sebagai antara pemimpin yang lantang dalam isu Melayu dan Jalur Gemilang.
Tetapi apabila kejadian seperti ini berlaku di Terengganu, mengapa begitu sunyi?
Adakah Akmal masih terlalu sibuk ‘bermain lumpur’ dengan Ketua Pemuda Pas sehingga tidak sempat melihat bulan dan bintang yang sudah hilang?
Sudah tentu penulis tidak mengharapkan beliau turun ke Dataran Batu Buruk untuk mencari bulan dan bintang tersebut.
Jika benar prinsipnya ialah mempertahankan maruah Jalur Gemilang, maka prinsip itu sepatutnya tidak mengenal warna politik.
Jalur Gemilang tidak mempunyai parti.
Jalur Gemilang bukan milik UMNO.
Bukan milik Pas.
Bukan milik Pakatan Harapan.
Bukan milik kerajaan negeri.
Ia milik seluruh rakyat Malaysia.
Sebab itu apabila berlaku kecuaian terhadap Jalur Gemilang, teguran harus diberikan tanpa mengira siapa yang memerintah.
Malangnya, apa yang rakyat lihat hari ini ialah sesetengah ahli politik terlalu pantas menjadi ‘hero’ apabila isu berlaku di kawasan lawan, tetapi terlalu perlahan apabila masalah berlaku di kawasan sendiri.
Inilah yang menyebabkan rakyat semakin muak.
Rakyat bukan bodoh.
Mereka boleh melihat siapa yang benar-benar memperjuangkan prinsip dan siapa yang hanya mencari peluang untuk mendapatkan perhatian.
Kalau di negeri lawan, bendera yang sedikit senget pun boleh menjadi isu besar.
Kalau di negeri sendiri, bulan dan bintang boleh hilang pun mungkin dianggap sekadar ‘masalah teknikal’.
Bulan dan bintang boleh hilang, tetapi alasan masih ada.
Bagi penulis, kejadian ini tidak semestinya bermaksud ada pihak sengaja menghina Jalur Gemilang.
Jangan pula kerana mahu mencari modal politik, terus dibuat tuduhan melampau tanpa bukti.
Mungkin benar ia berlaku akibat angin.
Mungkin benar ia berpunca daripada pemasangan yang tidak sempurna.
Mungkin juga berlaku kerosakan yang tidak disedari.
Tetapi apa yang penting ialah pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera dan memastikan perkara yang sama tidak berulang.
Itu sahaja.
Tidak perlu menjadikan isu ini sebagai perang antara Melayu dan bukan Melayu. Tidak perlu menjadikannya perang antara Islam dan bukan Islam.
Tidak perlu menjadikannya perang antara UMNO, Pas dan Pakatan Harapan. Yang perlu dipertahankan ialah prinsip.
Jika salah, katakan salah.
Jika cuai, katakan cuai.
Jika rosak, gantikan.
Jika berlaku di pihak sendiri, tegur juga.
Jangan hanya pandai menjerit apabila pihak lawan melakukan kesalahan.
Jangan hanya menjadi ‘pejuang Melayu’ apabila kamera sedang merakam.
Jangan hanya menjadi ‘hero Jalur Gemilang’ apabila ia boleh memberikan keuntungan politik.
Kerana ukuran seorang pemimpin bukanlah pada sekuat mana dia boleh menjerit.
Ukuran seorang pemimpin ialah sejauh mana dia mampu mempertahankan prinsip walaupun perkara itu berlaku di pihak sendiri.
Jangan sampai rakyat akhirnya berkata:
‘Bila bendera orang lain koyak, kamu jadi hero. Bila bendera sendiri hilang bulan dan bintang, kamu pula hilang suara’.
Mungkin bulan dan bintang pada Jalur Gemilang di Batu Buruk boleh tertanggal kerana angin.
Tetapi jangan sampai prinsip para pemimpin juga tertanggal apabila angin politik bertiup.
Itulah yang lebih membimbangkan.




