
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar dijangka berada di bawah pemantauan pasukan perubatan selama dua hari.
“YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan.
“Beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur yang dijalani Perdana Menteri dipermudahkan.
Katanya, doa turut dipanjatkan agar Anwar dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah.
Untuk rekod, Anwar juga turut meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-79 hari ini.





