
PENAMPANG – Kerajaan Sabah akan terus menuntut hak pemberian 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G) dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hak 40 peratus merupakan hak terbesar Sabah dalam MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan tegas dan terus menuntut hak 40 peratus kerana ia merupakan hak terbesar kita dalam MA63, juga seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap semasa sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, pendirian Sabah akan terus dikemukakan kepada Persekutuan termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang pada 3 Ogos lalu di Putrajaya dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick sebagai antara delegasi kerajaan negeri.
Katanya, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, termasuk kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
“Walaupun ia belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk satu rayuan berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan, Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan secara interim yang dahulunya hanya RM26 juta tetapi kini ditambah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.
“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini dan kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap di Sabah, membina jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda-agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan, akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri terus memberi fokus besar kepada prestasi kewangan dan peningkatan jumlah kutipan hasil, dengan jumlah kutipan berjaya dikekalkan mencecah RM7 bilion setiap tahun sejak 2022 dan dijangka meningkat sehingga RM8 bilion tahun ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga telah membangunkan daya tahan ekonomi walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran domestik dan global, sekali gus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang strategik.
“Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan, iaitu hampir 208 peratus berbanding pada tahun 2024,” ujarnya.





