
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen hari ini, masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Setakat ini, belum ada pengesahan sama ada prosiding pendakwaan akan diteruskan di IJN atau ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu, Ragunath Kesavan, mengesahkan anak guamnya dijadualkan didakwa pada pagi Jumaat, namun memaklumkan Ismail Sabri kini masih ditempatkan di IJN bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, sumber di Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, pasukan pendakwaan akan hadir ke Mahkamah Sesyen terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk ke IJN.
“Kami akan pergi ke mahkamah terlebih dahulu, namun besar kemungkinan akan ke IJN,” seperti dilaporkan media tempatan.
Mengikut jadual mahkamah, pertuduhan terhadap Ismail Sabri, 66, dijangka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 10 pagi.
Sebelum ini, pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pelucuthakan wang tunai bernilai kira-kira RM169 juta yang dikaitkan dengan Ismail Sabri kepada Kerajaan Malaysia.
Jumlah itu melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat, franc Switzerland, euro, yen Jepun, pound sterling, dolar New Zealand, dirham Emiriah Arab Bersatu dan dolar Australia.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan berikutan tiada pihak ketiga yang tampil mencabar prosiding pelucuthakan harta berkenaan.
Pada 8 September 2025, mahkamah turut dimaklumkan bahawa Ismail Sabri bersama bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat membantah permohonan pelucuthakan wang tunai yang disita oleh SPRM.
Pada Mac 2025, SPRM pernah mempamerkan wang tunai dianggarkan bernilai hampir RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Rampasan itu dibuat hasil siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan tiga premis, termasuk sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan atau safehouse.




