
ANGGOTA Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengecam satu hantaran di platform Threads yang didakwa mempersendakan majlis bacaan tahlil, dilakukan oleh Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta boleh mencemarkan imej Islam dan menggugat keharmonian masyarakat.
Hantaran berkenaan dengan tajuk “majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke di Chennah” didakwa bukan sahaja tidak beradab, malah berpotensi mencemarkan imej Islam sebagai agama yang mengajar ihsan, adab dan penghormatan terhadap maruah manusia.
“Majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik. Mempermainkan simbol serta amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik adalah perbuatan yang keji, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
“Ia ibarat meletakkan kesucian Islam di bawah tapak kaki,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.
Sehubungan itu, Sheikh Omar menggesa individu terbabit supaya segera memadam hantaran berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina agama atau menyalahgunakan amalan suci sebagai alat menyerang pihak lawan.
Katanya, Malaysia memerlukan budaya politik yang lebih matang, beradab serta menghormati batas kemanusiaan dan kesucian agama.







