
KUALA LUMPUR – Penjawat awam diseru menghayati nilai sebenar yang dibawa Jalur Gemilang dalam menjayakan aspirasi nasional “Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang” sempena sambutan Bulan Kebangsaan, bukan sekadar mengibarkan bendera sebagai simbol semata-mata.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ukuran patriotisme bukan terletak pada setinggi mana Jalur Gemilang dikibarkan, sebaliknya sejauh mana nilai yang terkandung di dalamnya diterjemahkan menerusi tindakan, keputusan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Jangan hanya mengibarkan bendera, kibarkan integriti, kibarkan amanah, kibarkan perpaduan dan kibarkan kecemerlangan perkhidmatan.
“Sebagai penjawat awam, marilah kita bekerja dengan lebih pantas, lebih berintegriti, lebih profesional dan lebih berjiwa rakyat. Jadikan kecintaan kepada negara sebagai sumber inspirasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya baru-baru ini.

Shamsul Azri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia menjayakan kempen “Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang” bagi menyemarakkan semangat patriotisme sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Biarlah sepanjang Bulan Kebangsaan ini, ke mana sahaja kita memandang, Jalur Gemilang berkibar megah sebagai lambang bahawa rakyat Malaysia bersatu hati mempertahankan keamanan, kemakmuran dan masa depan negara,” katanya.
Beliau menegaskan Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang dikibarkan di tiang, tetapi merupakan lambang kedaulatan, maruah dan identiti sebuah negara merdeka.
Katanya, setiap kibaran Jalur Gemilang mengingatkan rakyat bahawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati hari ini terhasil daripada pengorbanan besar para pejuang, anggota keselamatan, penjawat awam serta seluruh rakyat yang mengutamakan kepentingan negara.






