Dr Dzulkefly gesa penganjur RXZ Members utamakan pesanan pemanduan berhemah

SHAH ALAM – Siri kemalangan maut membabitkan program RXZ Members dari edisi pertama hingga ke penganjuran kelapan baru-baru ini amat merisaukan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Susulan itu, beliau menyarankan agar pihak penganjur memikul tanggungjawab moral bagi memastikan keselamatan setiap peserta terjamin. 

“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan. 

“Penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin. 

“Saranan saya, pastikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap penganjuran agar insiden nyawa melayang sia-sia akibat kelajuan tidak lagi berulang,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Menurutnya, setiap kali aktiviti menghimpunkan peminat permotoran menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya di jabatan kecemasan hospital seluruh negara, termasuk yang meragut nyawa.

Media pada 31 Julai melaporkan, tiga penunggang motosikal maut dan dua parah dalam empat kemalangan berasingan di tiga daerah di Pahang ketika berkonvoi untuk menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

Terbaharu, pada Ahad, seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 356, Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Bukit Besi, Dungun.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, nahas jalan raya kini merupakan antara cabaran kesihatan awam paling serius di negara ini dan menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), secara purata seramai 18 individu maut setiap hari akibat kemalangan jalan raya.

“Lebih membimbangkan, sebanyak 59 peratus daripada jumlah kematian tersebut melibatkan golongan penunggang motosikal,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kecemasan dan trauma di semua hospital Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan jalan raya.

Dzulkefly juga menggesa masyarakat supaya mengubah mentaliti ketika berada di jalan raya dengan mengutamakan keselamatan berbanding kelajuan.

“Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan sebelum memulas pendikit jentera dan ingatlah wajah insan tersayang yang menanti kepulangan anda di rumah,” katanya.

“Justeru, sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ekstrem di jalan raya. Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: “Yang Santai, Pasti Sampai”.

“Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar. Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda. Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah,” katanya.

Untuk rekod, penganjuran RXZ Members 8.0 menarik lebih 200,000 peserta, menjadikan edisi kali ini paling mendapat sambutan sejak ia mula dianjurkan pada 2017.

Related Posts

Perkasakan peranan FWCMS demi banteras warga asing

PUTRAJAYA – Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) perlu diperkasa secara holistik sebagai pendekatan pencegahan bagi menangani isu pematuhan imigresen, bukannya hanya bergantung kepada operasi serbuan dan penahanan besar-besaran. Profesional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MyKad Generasi Baharu tersedia di seluruh negara mulai hari ini

KUALA LUMPUR – Pemegang MyKad lama kini boleh mendapatkan MyKad Generasi Baharu di semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara, bermula hari ini. Menurut soalan lazim yang disiarkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah